Media sosial hari ini mudah menjadi platform untuk menghakimi seseorang, terutama terhadap mereka yang mempunyai perbezaan dari segi fizikal. Kisah Syamimi Afrina yang mempunyai tanda lahir di dahi telah menerima pelbagai komen negatif. Ada yang bertanya sama ada suami tak nak bercerai ke sebab ada tanda lahir di dahi.

Dalam konteks Islam, setiap kejadian adalah atas kehendak Allah dan bukan bahan untuk buat ejekan atau sindiran. Keunikan fizikal seperti tanda lahir bukan bentuk kelemahan, sebaliknya itu adalah ciptaan yang Allah pilih dan kita harus menghormatinya, bukan membanding-bandingkan.

Islam mengajar kita melatih akhlak sebelum menggunakan lidah. Dalam Surah Al-Hujurat ayat  11, Allah SWT mengingatkan kita untuk jangan mencela orang lain dengan apa jua panggilan.

“Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Menghina seseorang kerana fizikalnya boleh menjadi langkah kecil menuju dosa ghibah dan namimah, yang mampu merosakkan ukhuwah dan akidah jika dibiarkan.

Individu seperti Syamimi, yang menjadi tular kerana wajah berbeza, menunjukkan kepada kita bahawa perbezaan itu tidak membuatkan seseorang itu kurang, malah mampu menjadi kekuatan jika diterima dengan ilmu dan kasih sayang.

Kita wajar melihat manusia sebagai makhluk Allah SWT yang sempurna, bukan menjadi saksi hinaan atas kelemahan mereka. Sebaliknya, kita perlu menjadi muhasabah, berfikir sebelum berkata sesuatu.

Bagi pengguna media sosial, kita perlu menyediakan ruang toleransi dan sokongan kepada mereka yang berbeza. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak mampu membantu, cukuplah dengan diam dari berkata apa-apa.

Kita semua mempunyai kekurangan masing-masing, tetapi Allah tidak menilai dari segi kekurangan kita, Allah menilai dari segala amalan baik dan amal ibadah yang dilakukan, MasyaAllah.


Sumber: Oh Bulan!