Ramai yang menganggap makan menggunakan tangan kiri hanyalah perkara remeh, sedangkan dalam Islam ia mempunyai hukum yang jelas.
Rasulullah SAW menekankan adab ini sebagai tanda membezakan seorang Muslim dengan syaitan, kerana syaitan makan dan minum menggunakan tangan kirinya.
Rasulullah SAW bersabda:
إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
Maksudnya: Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, karena syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.
Sahih Muslim (2020)
Berdasarkan hadith inilah Imam al-Nawawi berpandangan makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/190-191)
Jumhur ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpandangan bahwa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan makruh hukumnya makan dan minum dengan tangan kiri ketika tidak dalam keadaan darurat.
Namun demikian, seboleh-bolehnya hendaklah berusaha untuk menyuap makanan dan minuman menggunakan tangan kanan dalam setiap keadaan, dalam rangka beramal dengan sunnah Rasulullah SAW.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan