(sumber: Facebook Dr Ahmad Sanusi)


Di dalam Islam, menipu pada dasarnya adalah haram dan dianggap dosa besar. Namun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan satu pengecualian yang menarik. Dibolehkan menipu atau berbohong secara tauriyah untuk menjaga aib diri, selagi tiada pendedahan dosa tersebut kepada orang lain, dan tidak menafikan hak sesiapa. Ini kerana, menjaga kehormatan diri dan menutup dosa yang tersembunyi juga adalah sebahagian dari iman dan akhlak mulia.

Konsep tauriyah ini bermaksud menyatakan sesuatu secara umum, namun niatnya lebih spesifik di hati. Sebagai contoh, jika seseorang diminta bersumpah “Aku tidak melakukan perkara itu” apa yang dimaksudkan hanyalah “Aku tidak melakukannya hari ini. Dengan begitu, ia tidak menyalahi syariat, kerana ia bukanlah menafikan hak atau menghalang orang lain menuntut hak mereka.

Walaupun begitu, hukum ini hanya sah apabila dosa tersebut tidak melibatkan hak orang lain seperti mencuri atau menzalimi. Jika ia berkaitan dengan hak individu lain, bohong seperti ini menjadi haram dan tidak dibenarkan. Tambahan pula, setiap tindakan menutup aib itu perlu disertai taubat yang ikhlas dan usaha menjauhi dosa itu pada masa akan datang, agar tidak dijadikan pintu dosa baru secara tersembunyi.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.

Sebagai umat Islam, kita harus menghargai konsep menutup aib iaitu menjaga aib diri sendiri dan orang lain yang merupakan amalan mulia dalam agama. Namun, kita mesti bijak membezakan antara benar-benar menutup aib dan menafikan hak pihak lain.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan