Platform e-wallet kini menjadi kemudahan harian yang sukar dielak. Ianya digunakan untuk urusan pembayaran bil, pembelian barangan, dan transaksi digital yang lain.

Secara umumnya, penggunaannya adalah harus menurut syariah, asalkan mematuhi akad yang sah dan bebas daripada elemen haram seperti riba dan gharar.

Namun begitu, beberapa isu syariah penting telah dikenal pasti yang boleh menjejaskan kehalalan e-wallet. Antara isu syariah yang timbul dalam penggunaan e-wallet ialah wujudnya unsur ketidaktentuan akad (gharar).

Hal ini kerana pengguna tidak diberikan penjelasan yang jelas mengenai status dana yang disimpan sama ada ia berbentuk qard (pinjaman), wadi‘ah (simpanan amanah), ataupun wakalah (perwakilan).

Kekaburan ini boleh menimbulkan keraguan dari sudut hukum kerana akad yang tidak jelas berpotensi membuka ruang kepada unsur yang diharamkan.

Selain itu, terdapat juga isu berhubung penyimpanan dana di institusi konvensional. Dalam sesetengah keadaan, dana pengguna diletakkan di dalam akaun bank konvensional yang mempunyai kaitan dengan amalan riba.

Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menegah sebarang bentuk riba dalam urusan muamalat.

Seterusnya, ganjaran seperti cashback dan mata ganjaran boleh mengandungi unsur riba atau gharar jika tidak disertai akad yang jelas.

Penggunaan dana oleh operator tanpa kebenaran jelas dari pengguna juga meragukan dari sudut syariah kerana berisiko mengandungi unsur haram.

Justeru, umat Islam dilarang menggunakan e-wallet yang mengandungi unsur haram seperti riba dan gharar sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Pengguna Muslim disarankan memilih e-wallet yang telah mendapat pengiktirafan patuh syariah, manakala operator e-wallet digalakkan bekerjasama dengan penasihat syariah yang bertauliah.

Ini termasuk memastikan dana disimpan dalam akaun amanah patuh syariah, menetapkan kontrak jelas (qard, wadi‘ah, atau wakalah), dan menyediakan refund (pulangan wang).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan