Dunia hari ini menyaksikan kebangkitan semula polarisasi yang membimbangkan, di mana ketegangan geopolitik dan konflik ideologi sering melimpah ke dalam urusan kehidupan seharian. Kita dapat melihat bagaimana isu-isu di peringkat global, seperti konflik yang berlarutan di Palestin, disalah tafsir sehingga mencetuskan sentimen kebencian yang umum terhadap sesuatu bangsa atau penganut agama. Baru-baru ini, laporan mengenai peningkatan insiden anti-Yahudi di negara jiran seperti Singapura adalah satu simptom yang jelas mengenai bahaya ini.

Apabila emosi dibiarkan mengatasi pertimbangan rasional dan panduan agama, natijahnya adalah ketidakadilan. Timbul satu salah faham besar dalam kalangan sebahagian umat Islam bahawa keimanan yang teguh atau solidariti terhadap saudara yang tertindas menghalalkan kebencian secara pukal. Ini adalah satu tanggapan yang perlu diperbetulkan segera, kerana ia secara langsung bercanggah dengan prinsip teras keadilan yang terkandung dalam Islam.

Islam, sebagai Din yang syumul (menyeluruh) dan rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekalian alam), telah meletakkan satu piawaian keadilan yang amat tinggi, yang melangkaui batas sentimen peribadi atau kesukuan. Allah SWT berfirman dengan begitu jelas dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 8:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada takwa…”

Ayat ini adalah paksi dan penegasan bahawa keadilan dalam Islam adalah sebuah prinsip mutlak, bukan sesuatu yang boleh ditawar-menawar berdasarkan siapa kawan atau lawan kita. Allah SWT secara spesifik mengingatkan bahawa kebencian—walaupun mungkin berpunca daripada kezaliman yang dilakukan oleh sebahagian daripada kaum tersebut—tidak boleh dijadikan lesen untuk kita pula berlaku zalim atau tidak adil kepada keseluruhan kaum itu. Inilah kemuncak takwa yang dituntut.

Dalam konteks semasa, umat Islam wajib membezakan dengan jelas. Kita dituntut untuk menentang kezaliman dan penindasan, seperti yang diamalkan oleh rejim Zionis. Namun, menentang Zionisme sebagai sebuah ideologi politik yang zalim adalah amat berbeza daripada membenci semua penganut agama Yahudi sebagai individu atau sebagai Ahlul Kitab. Mencampuradukkan kedua-dua ini adalah satu kesilapan metodologi yang besar dan bertentangan dengan akhlak Islamiah.

Sirah Rasulullah SAW sendiri memberi kita teladan terbaik. Melalui Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah), Baginda SAW mengiktiraf hak dan jaminan keselamatan terhadap kaum Yahudi yang mendiami Madinah, selagi mana mereka tidak mengkhianati perjanjian. Baginda berinteraksi dan berniaga dengan mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam menggariskan perbezaan yang jelas antara kafir harbi (yang memusuhi dan memerangi Islam) dengan kafir dzimmi atau mu’ahad (yang hidup di bawah naungan negara Islam atau mempunyai perjanjian damai).

Terhadap golongan yang tidak memerangi umat Islam, Allah SWT menegaskan dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku a1dil.”

Dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia, pemahaman ini bukan sahaja penting, tetapi kritikal untuk kestabilan sosial. Menyemai kebencian umum terhadap mana-mana agama—sama ada anti-Yahudi, anti-Kristian, mahupun Islamofobia—adalah satu bentuk fasad (kerosakan) yang boleh menghancurkan kerukunan hidup bernegara. Umat Islam sepatutnya menjadi contoh terbaik dalam mempamerkan keadilan, walaupun ketika kita sedang marah atau bersedih dengan nasib saudara kita di tempat lain.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik diri dan masyarakat agar tidak terjerumus dalam perangkap emosi dan generalisasi yang melulu. Kekuatan sejati seorang Muslim bukan diukur pada sekuat mana dia membenci musuhnya, tetapi pada sejauh mana dia mampu berpegang pada prinsip keadilan Allah SWT walaupun dalam situasi yang paling mencabar.

Marilah kita hayati seruan Al-Quran untuk menjadi saksi yang adil. Solidariti kita harus berlandaskan kebenaran dan keadilan, bukan atas sentimen perkauman atau kebencian yang membuta tuli. Inilah lunas akhlak yang akan memelihara kemuliaan Islam sebagai agama keamanan dan keadilan sejagat.

Sumber artikel: Berita Harian


Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat ⤵️

Website: https://www.waktusolat.digital/

Facebook:https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram:https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy