Situasi di mana masjid yang lengang tetapi konsert yang padat dan penuh sesak bukan lagi perkara asing dalam masyarakat kita hari ini. Ia bukan soal membanding-bandingkan secara semberono, tetapi mencerminkan realiti kecenderungan jiwa manusia moden yang lebih tertarik kepada hiburan berbanding ibadah. Dalam banyak keadaan, solat berjemaah lima waktu di masjid hanya dihadiri oleh segelintir, manakala acara hiburan mampu menghimpunkan ribuan dalam sekelip mata. Tidakkah ini sepatutnya menggerakkan kita untuk bermuhasabah?
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَجْتَمِعُونَ فِي الْمَسَاجِدِ لَيْسَ فِيهِمْ مُؤْمِنٌ
Maksudnya: Akan tiba suatu zaman, manusia berkumpul di dalam masjid-masjid namun tiada seorang di antara yang beriman. (Riwayat al-Hakim)
Hadis ini memberi gambaran bahawa walaupun masjid mungkin berdiri megah secara fizikal, fungsi rohaninya semakin pudar. Apabila masyarakat lebih tertarik kepada dunia hiburan dan menjadikan agama hanya sebagai ‘hiasan’, ini menandakan adanya simptom kerosakan rohani dalam jiwa umat Islam. Bukan hiburan yang salah, tetapi apabila hiburan melalaikan diri daripada mengingati Allah, maka ia menjadi satu penyakit yang merosakkan akhlak.
Dalam Surah At-Takathur, Allah mengingatkan: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke dalam kubur.” (At-Takathur: 1-2).
Kita hidup dalam era di mana kemewahan, kemasyhuran dan keseronokan dunia menjadi tujuan utama. Ini bukan sekadar soal pilihan peribadi, tetapi mencerminkan sistem nilai masyarakat yang telah berubah. Dari mencari reda Allah kepada mencari perhatian manusia. Maka tidak hairanlah jika program agama sepi, manakala acara hiburan dipromosikan secara besar-besaran.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu kembali mengimbang semula keutamaan. Masjid bukan sekadar tempat solat, ia pusat komuniti, medan ilmu dan benteng rohani. Kita tidak menyeru agar konsert dihentikan, tetapi menyeru agar hati kita lebih dekat kepada Allah SWT berbanding dunia. Ibadah itu bukan beban, tetapi jalan untuk menuju ke syurga. Kita boleh raikan seni dan hiburan, asalkan ianya tidak melalaikan dan menyesatkan. Renung-renungkanlah dan semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya, InsyaAllah.