
Saat rakyat Malaysia dikejutkan dengan tragedi Zayn Rayyan yang menyentuh hati, kita diingatkan semula mengenai betapa beratnya amanah yang diletakkan ke atas bahu ibu bapa. Anak adalah anugerah, tetapi juga ujian dan tanggungjawab yang besar di sisi Allah. Dalam Islam, anak bukan hanya untuk dibesarkan secara zahir, tetapi juga dipelihara keselamatan, emosi dan haknya dengan penuh kasih sayang dan keadilan.
Apabila ibu bapa dituduh atau diuji dengan dakwaan berkaitan anak sendiri, masyarakat mudah membuat kesimpulan antara simpati, skeptikal dan kemarahan. Namun, Islam mengajar kita prinsip penting: “Tabayyun” iaitu menyemak dan meneliti sebelum membuat kesimpulan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 6, agar kita tidak tergesa-gesa menuduh kerana ia boleh membawa kepada kezaliman yang tidak disedari.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ
‘Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan’
Mahkamah dunia mungkin mengambil masa, tetapi mahkamah Allah tidak pernah terlepas satu zarah sekali pun. Walau apa jua keputusan yang akan diumumkan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan hari ini, hakikatnya kita semua harus kembali kepada asas keimanan bahawa setiap perbuatan akan diperhitungkan, dan setiap kezaliman pasti ada pengadilan yang setimpal.
Doa menjadi senjata terakhir orang beriman. Kita boleh menzahirkan sokongan dan simpati bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan doa agar Allah memberi petunjuk kepada kebenaran,serta keampunan dan hidayah kepada sesiapa yang tersasar. Moga keputusan hari ini bukan sekadar penutup sesuatu episod, tetapi permulaan kepada keadilan yang sebenar dan ketenangan buat semua.