
Trend S-Line yang sedang hangat di media sosial bukan sekadar hiburan ringan. Ia berasal dari naratif fiksyen drama Korea, tetapi kini diangkat sebagai ‘fenomena’ sebenar yang secara halus menormalisasikan penilaian maruah seseorang berdasarkan simbol hubungan seksual. Apa yang bermula sebagai rekaan, kini jadi perbandingan terbuka yang menyentuh isu harga diri dan aib.
Islam sangat menekankan penjagaan maruah dan larangan membuka aib. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (HR Muslim).
Maka bayangkan bahayanya trend ini, yang bukan sahaja membuka ruang sangkaan buruk, tetapi juga menggalakkan budaya menilai berdasarkan hal yang sangat peribadi.
Kita perlu tanya, apa yang sedang ditanam dalam pemikiran remaja melalui trend seperti ini? Bila pengalaman seksual dijadikan ‘meter’ sosial, walau secara main-main, ia menyemai budaya permisif dan hilang rasa malu (haya’) yang menjadi benteng akhlak. Ia juga menormalisasikan perbualan yang sepatutnya dibicarakan dengan ilmu dan penuh adab, bukan sebagai bahan hiburan.
Dalam dunia digital yang pantas, apa yang viral tidak semestinya betul. Sebagai Muslim, kita dituntut untuk tapis, nilai dan tangkis arus budaya yang bercanggah dengan prinsip Islam. Jangan biar algoritma media sosial menentukan apa yang patut kita tonton, fikir dan percaya kerana kesannya bukan hanya di dunia, tapi juga di akhirat kelak.
Moga trend ini membuka mata, bukan sekadar menjadi bahan tular yang diambil ringan. Kita ada tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik diri kita supaya maruah tidak menjadi bahan gurauan, dan aib tak dijadikan sebagai konten hiburan. Dunia mungkin anggap perkara seperti ini seronok, tapi di sisi Allah, ia adalah satu dosa yang berat. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya, InshaAllah.
Sumber: SirapLimau