Ramai dalam kalangan anak muda hari ini berasa bahawa kematian masih jauh daripada mereka. Ada yang beranggapan usia muda memberi ruang untuk terus berseronok, lalai dan menangguhkan amal ibadah.

Hakikatnya, kematian adalah sesuatu yang pasti, tidak mengenal usia atau keadaan seseorang. Ada yang masih kecil telah dipanggil Ilahi, ada pula yang sihat tiba-tiba pergi tanpa sempat memberi pesan terakhir.

Dalam Islam, kita diingatkan bahawa ajal adalah rahsia Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Luqman ayat 34,

“Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa umur panjang bukan jaminan, dan usia muda bukan alasan untuk merasa selesa. Justeru, setiap insan perlu mempersiapkan diri dengan amal soleh sebelum terlambat.

Selain itu, Rasulullah SAW sering mengingatkan umatnya tentang kepentingan mengingati mati. Baginda bersabda,

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّات الـمَوْتِ

Perbanyakkanlah mengingat pemutus kelazatan iaitu kematian.”

Riwayat al-Tirmizi (2307); al-Nasa’i (1824) dan Ibn Hibban (6/261)

Dengan mengingati mati, hati kita menjadi lebih lembut, tidak terlalu terikat pada dunia, serta lebih terdorong untuk bertaubat dan memperbaiki diri.

Anak muda khususnya perlu menyedari bahawa tenaga dan masa muda adalah nikmat besar yang akan ditanya oleh Allah SWT pada hari akhirat.

Justeru, janganlah kita menangguhkan taubat, solat atau kebaikan dengan alasan masih muda. Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dalam kelalaian, kerana kematian boleh hadir bila-bila masa sahaja.

Sumber: Maktabah AlBakri