
Pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman, 23, salah seorang mangsa kemalangan tragik membabitkan bas pelajar UPSI di Gerik baru-baru ini, bukan sahaja mengundang rasa pilu, tetapi turut meninggalkan satu warisan luar biasa buat ummah, mushaf Al-Quran tulisan tangannya sendiri. Dalam era serba moden ini, usaha menyalin 604 muka surat Al-Quran dengan tulisan tangan sendiri merupakan satu bentuk ibadah luar biasa yang mencerminkan ketekunan, kesabaran, dan cinta yang mendalam terhadap kalam Allah.
Allahyarhamah merupakan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Khas di UPSI dan meninggal di lokasi kejadian sambil memegang al-Quran di dada. Dalam Islam, usaha menulis Al-Quran adalah satu amalan yang sangat mulia, bahkan dianggap sebagai amal jariah yang berpanjangan. Menyalin ayat suci secara tulisan tangan bukan sahaja memerlukan ketelitian, tetapi juga keikhlasan hati dan adab yang tinggi. Menjaga wuduk, memelihara niat, dan memastikan setiap huruf ditulis dengan sempurna.
Sehingga hari ini, mushaf tulisan tangan Allahyarhamah menjadi bukti nyata bahawa cinta terhadap Al-Quran mampu hidup dalam pelbagai bentuk. Bukan hanya melalui bacaan, tetapi juga perbuatan yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian. Ia menjadi simbol jiwa muda yang benar-benar menjadikan agama sebagai panduan hidup.
Kisah beliau seharusnya menjadi inspirasi buat generasi muda Islam hari ini. Dalam kesibukan dunia dan ujian kehidupan, Allahyarhamah memilih untuk mengabdikan diri kepada Al-Quran dan hari ini, dunia menyaksikan hasilnya. Jika seorang pelajar muda mampu menghadiahkan dirinya dan ummah dengan mushaf tulisan tangan, kita juga mampu bermula dengan sekadar membaca, memahami, dan menghayati satu muka surat sehari.
Sesungguhnya, amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan terus hidup dan memberi manfaat, walaupun jasad telah kembali kepada Pencipta. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan menjadikan mushaf itu sebagai saksi amal solehnya di akhirat kelak.