Baru-baru ini tular di TikTok apabila seorang peniaga kuih berkongsi mesej perbualan bersama artis tanah air, Amira Othman.
Dalam perkongsian tersebut, Amira telah membayar semua jualan makanan pada hari itu sehingga pelanggan yang datang tidak perlu lagi mengeluarkan duit.
Peniaga berkenaan meluahkan rasa syukur atas tindakan ikhlas tersebut dan mendoakan agar Amira serta keluarganya diberi kesihatan, umur yang panjang, dan rezeki yang melimpah ruah.
Rasulullah SAW bersabda:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
Riwayat Muslim (4689)
Dalam Islam, sedekah adalah salah satu amal yang sangat digalakkan kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban orang lain, bahkan mendidik hati untuk lebih ikhlas dan syukur.
Apa yang dilakukan Amira adalah contoh nyata bagaimana rezeki yang dikongsi dapat menggembirakan orang lain, termasuk peniaga tersebut.
Tindakan menanggung jualan makanan itu juga membawa makna infak, iaitu membelanjakan harta di jalan Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 menggambarkan bahawa orang yang membelanjakan harta di jalan Allah akan dilipatgandakan pahalanya seperti sebutir benih yang tumbuh tujuh tangkai, setiap tangkai seratus biji.
‘Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.’
Ia menunjukkan betapa besarnya ganjaran bagi orang yang suka memberi, walaupun dengan sesuatu yang kecil pada pandangan manusia.
Kisah ini turut mengajar kita bahawa kebaikan tidak memerlukan publisiti besar. Cukup sekadar ikhlas dan memberi manfaat kepada orang sekeliling.
Bahkan, ia mampu mencetus inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Sedekah seperti ini bukan sahaja membahagiakan penerima, malah ia menenangkan hati pemberi kerana setiap kebaikan yang dilakukan pasti kembali kepada dirinya sendiri.
Kesimpulannya, perbuatan Amira Othman membayar semua kuih itu adalah cerminan ajaran Islam tentang kepentingan bersedekah. Ia membuktikan bahawa dengan sedikit rezeki yang dikongsi, kita boleh memberi kegembiraan yang besar kepada orang lain.
Mudah-mudahan kisah ini menjadi dorongan kepada kita semua untuk memperbanyakkan sedekah dan infak, agar hidup sentiasa diberkati Allah SWT.
Sumber: OhBulan!