
Pengumuman bahawa Malaysia bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat ASEAN, yang dijangka dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pastinya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Bagi sebahagian besar umat Islam di negara ini, nama tersebut sinonim dengan pelbagai dasar dan retorik kontroversi, khususnya yang menyentuh sensitiviti umat Islam seperti isu Palestin dan retorik yang disifatkan sebagai Islamofobik.
Kunjungan ini meletakkan kita di satu persimpangan dilema: antara tanggungjawab sebagai negara tuan rumah dalam arena diplomasi antarabangsa dan kecemburuan atau semangat keagamaan kita yang terluka. Persoalan yang timbul di kedai kopi dan media sosial adalah: wajarkah kita membentang karpet merah kepada pemimpin yang dasarnya sering dilihat memusuhi kepentingan umat Islam? Adakah penerimaan ini satu bentuk pengiktirafan terhadap tindakannya?
Dalam mengemudi polemik ini, kita sebagai umat yang berpandukan wahyu perlu membezakan antara sentimen peribadi dan Siyasah Syar’iyyah pentadbiran negara yang selari dengan Syariah. Islam tidak menafikan hak untuk membenci kezaliman, tetapi ia juga menyediakan satu kerangka kerja yang matang dalam menguruskan hubungan antarabangsa, sekalipun dengan pihak yang kita musuhi. Kita boleh merujuk kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, di mana Rasulullah SAW sendiri telah memeterai perjanjian damai dengan Musyrikin Mekah—pihak yang telah mengusir, memerangi, dan membunuh para sahabat.
Secara zahirnya, isi perjanjian itu kelihatan berat sebelah dan merugikan umat Islam. Para sahabat, termasuk Saidina Umar al-Khattab , pada awalnya mempamerkan rasa tidak puas hati yang mendalam kerana ghirah mereka terusik. Namun, Rasulullah SAW, dengan panduan wahyu, melihat melangkaui emosi semasa. Baginda mengutamakan maslahah ‘ammah (kepentingan awam) yang lebih besar, iaitu keamanan jangka panjang yang membolehkan dakwah tersebar tanpa halangan. Allah SWT sendiri menggelar perjanjian ini sebagai “kemenangan yang nyata”.
Pengajaran dari Hudaibiyyah amat relevan dalam konteks hari ini. Tindakan sebuah negara sebagai pemerintah menerima kunjungan pemimpin negara lain, walaupun pemimpin itu tidak kita senangi, bukanlah bermakna kita mengiktiraf atau meredai segala tindakannya. Ia adalah sebahagian daripada protokol diplomasi dan adab dalam hubungan antara negara. Dalam Fiqh al-Muwazanah, Fiqh Keseimbangan, pemerintah perlu menimbang antara pelbagai kebaikan dan mafsadah (keburukan). Memulaukan sebuah kuasa besar dalam persidangan antarabangsa mungkin membawa keburukan yang lebih besar kepada kedudukan negara dan kestabilan serantau.
Kita juga perlu faham perbezaan ketara antara diplomasi dan normalisasi. Diplomasi adalah platform rasmi untuk berurusan, berunding, dan dalam konteks ini, ia adalah peluang terbaik untuk kepimpinan negara kita menyatakan pendirian, menegur, dan menyampaikan suara ummah secara terus di hadapan pemimpin tersebut. Ini juga adalah satu sunnah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin, walaupun yang zalim. Memboikot perjumpaan bermakna kita kehilangan platform tersebut dan membiarkan naratif ditentukan oleh pihak lain.
Malah, Islam sendiri menggariskan adab yang tinggi dalam menguruskan perbezaan, sehinggakan dalam permusuhan. Allah berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. “Ayat ini adalah penanda aras akhlaq seorang Muslim; kebencian kita terhadap dasar seseorang tidak boleh menghalalkan kita untuk berlaku tidak adil atau melanggar adab sebagai tuan rumah.
Justeru, kunjungan Trump ke Malaysia harus dilihat melalui kacamata yang lebih besar. Ia adalah ujian terhadap kematangan kita sebagai sebuah ummah dan negara. Solidariti kita terhadap isu Palestin dan keadilan global tidak boleh padam, dan ia mesti terus disuarakan melalui saluran yang betul.
Namun, pada masa yang sama, kita perlu mempercayai kebijaksanaan kepimpinan negara dalam menguruskan hal ehwal diplomasi siyasah demi menjaga maslahah negara yang lebih utama. Biarlah emosi kita dibimbing oleh manhaj ilmu dan hikmah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang tahu bila masanya untuk bertegas (seperti dalam perang) dan bila masanya untuk berdiplomasi seperti dalam Hudaibiyyah.
Sumber artikel : Berita Harian
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat ⤵️
Website: https://www.waktusolat.digital/
Facebook:https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram:https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy