Barang tidak dipakai sering menjadi fenomena dalam masyarakat moden.

Ramai membeli pakaian, aksesori, barangan rumah, koleksi dekorasi dan pelbagai benda lain, lalu menyimpannya sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun tanpa digunakan.

Walaupun ia kelihatan seperti perkara kecil, hakikatnya dalam Islam, setiap barangan yang dimiliki baik digunakan atau tidak tetap akan melalui proses hisab di akhirat kelak.

Hisab bukan sekadar tentang ibadah, tetapi turut meliputi harta dan bagaimana ia diuruskan di dunia.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa setiap manusia akan ditanya tentang nikmat, harta dan segala yang dimilikinya.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Takathur ayat 8:
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Maksudnya: “Kemudian pada hari itu kamu pasti akan ditanya tentang nikmat.”

Ulama menafsirkan bahawa nikmat termasuklah harta, pakaian, barang keperluan dan segala yang dimiliki, sama ada digunakan ataupun hanya disimpan tanpa manfaat.

Hal ini menjadi peringatan bahawa barang tidak dipakai bukanlah perkara remeh kerana ia tetap termasuk dalam apa yang akan dipersoalkan.

Hukum barang tidak dipakai dalam Islam

Sebahagian ulama menyatakan bahawa menyimpan terlalu banyak barang tidak dipakai boleh menjadi sebahagian amalan yang dihisab, lebih-lebih lagi jika barang tersebut boleh memberi manfaat kepada orang lain tetapi kita memilih untuk membiarkannya rosak, tersorok atau tidak digunakan.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ
Maksudnya: “Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya ke mana dihabiskan, ilmunya bagaimana diamalkan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.”

Apabila seseorang membeli banyak pakaian atau barangan yang akhirnya menjadi barang tidak dipakai, ini termasuk dalam persoalan “harta ke mana ia dibelanjakan”.

Ia bukan bermakna Islam melarang membeli harta atau aset, namun agama mengajar supaya kita tidak membazir dan memastikan setiap barangan memberi manfaat, bukan sekadar menjadi koleksi yang tidak digunakan.

Sedekah barang tidak dipakai lebih utama

Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang lain dan antara yang paling mudah ialah menyedekahkan barang tidak dipakai kepada mereka yang memerlukan.

Rasulullah SAW memberi galakan besar kepada sesiapa yang berkongsi pakaian dengan orang lain.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Umamah RA, baginda bersabda:

مَنْ كَسَا مُؤْمِنًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi pakaian kepada seorang mukmin bagi menutup auratnya, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian daripada syurga.”

Ini menunjukkan betapa besarnya pahala daripada sedekah pakaian.

Jika kita menyimpan banyak pakaian yang masih elok tetapi tidak digunakan, ia sebenarnya peluang untuk mendapatkan pahala yang berterusan.

Menyimpan barang tidak dipakai tanpa sebab hanya menjadikan harta itu membebankan di akhirat, sedangkan menyedekahkannya menjadi amal yang mengalir.

Barang tidak dipakai perlu dikeluarkan, elak beban hisab

barang tidak dipakai

Ulama menyebut bahawa membiarkan barang tidak dipakai terlalu lama sehingga ia rosak, expired atau dimakan usia adalah satu bentuk pembaziran.

Pembaziran ialah sesuatu yang dicela dalam Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.”

Walaupun kita tidak berniat membazir, hakikatnya menyimpan barang tidak dipakai sehingga ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa tetap dianggap perbuatan sia-sia.

Maka lebih baik ia dikeluarkan, disedekahkan atau diberikan kepada orang lain yang akan memanfaatkannya.

Simpan barang tidak dipakai tidak salah tapi jangan melalaikan

Islam tidak mengharamkan seseorang menghias rumah, membeli pakaian baru atau memiliki hobi mengumpul koleksi.

Namun ia menjadi masalah apabila barang tidak dipakai memenuhi rumah sehingga melalaikan hati, menambah rasa cinta dunia dan menjadi beban hisab.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis riwayat Bukhari:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau seorang pengembara.”

Maknanya, jangan terlalu terikat dengan harta dunia sehingga terlupa bahawa setiap barangan walaupun kecil akan dihitung semula di akhirat kelak.

Akhirnya, kita perlu memahami bahawa barang tidak dipakai bukan sekadar benda fizikal yang ada di rumah.

Ia adalah amanah, tanggungjawab dan akan ditanya oleh Allah SWT bagaimana ia digunakan.

Jika dimanfaatkan, ia menjadi pahala. Jika disimpan tanpa guna, ia menjadi beban hisab.

Cara terbaik ialah memastikan setiap barangan memberi manfaat dan jika tidak diperlukan, sedekahkanlah ia kepada mereka yang lebih memerlukan.

Sumber: Ikhlas.com

Artikel berkaitan: DAPAT BARANG ‘FREE’, TERIKAT HUTANG HARAM – AWAS PERANGKAP RIBA ZAMAN MODEN!

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!