Kisah Caprice menyewa rumah baru dan membuka akaun bank untuk pasangan warga emas yang tular baru-baru ini menjadi inspirasi kepada orang ramai.
Tindakan beliau bukan sahaja meringankan kesusahan fizikal pak cik dan mak cik tersebut, malah memudahkan orang ramai menyampaikan bantuan tanpa kesulitan. Tindakan ini mencerminkan nilai kasih sayang, tolong-menolong, dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam Islam sebagai satu bentuk amal jariah.
Islam sangat menekankan pentingnya belas kasihan terhadap orang tua dan umat yang lemah. Rasulullah SAW bersabda:
مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”
(Riwayat Muslim)
Dengan inisiatif Caprice menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan kemudahan akaun bank, beliau membuka jalan bagi masyarakat untuk turut membantu dengan lebih mudah dan sistematik, satu amalan yang ditegakkan atas dasar niat ikhlas kerana Allah SWT
Caprice menunjukkan bagaimana seorang influencer boleh menggunakan platform dan popularitinya ke arah kebaikan. Beliau bukan sekadar mencipta kandungan viral, tetapi memberi manfaat sebenar kepada golongan yang yang memerlukan.
Jika anda bercita-cita menjadi influencer, gunakanlah kuasa anda seperti Caprice iaitu untuk menyebarkan nilai murni, mendekatkan orang kepada kebaikan, dan menjadikan media sosial sebagai platform untuk membantu orang yang dalam kesusahan.
Sebagai masyarakat Muslim, kita boleh mengambil teladan seperti Caprice untuk bertindak atas prinsip sedekah, ihsan, dan syukur. Bantuan fizikal dan kemudahan yang diberikan bukan hanya memberi manfaat duniawi, ianya juga boleh menjadi saham akhirat bagi semua yang menyumbang.
Apabila tindakan kita diniatkan secara ikhlas, tidak mustahil pahala kecil berubah menjadi bekalan berpanjangan untuk hidup di dunia dan akhirat, InsyaAllah.
Sumber: OhBulan!