
Bergurau-senda bersama sahabat, ahli keluarga, atau pasangan adalah antara perkara yang boleh mengeratkan lagi hubungan dan silaturahim, tetapi bergurau juga mempunyai batas dan adab.
Di zaman moden ini, kerap kali kita melihat di media sosial ataupun di pejabat di mana seseorang itu bergurau mengenai rupa paras ataupun fizikal seseorang.
Perkara ini mungkin kelihatan seperti ‘normal’ dan biasa, tetapi ianya boleh mengguris hati dan membuatkan seseorang itu berasa tidak yakin, sedih, dan menjatuhkan maruah.
Dalam konteks Islam, gurauan seperti ini merupakan satu dosa dan ianya tidak patut dinormalisasikan. Islam sangat menekankan adab dalam berbicara, apatah lagi bila melibatkan maruah dan sensitiviti individu.
Apa yang mungkin lawak bagi kita, mungkin menjadi luka bagi orang lain dan lebih parah, jika gurauan itu disaksikan orang ramai. Maruah mangsa dipijak di hadapan umum.
Ini bukan lagi lawak, tetapi penghinaan terbuka. Islam tidak mengharamkan bergurau, tetapi meletakkan batas agar gurauan itu tidak berubah menjadi kezaliman terhadap seseorang.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Hujurat: 11)
Marilah kita ubah cara kita bergurau. Pilih kata yang menggembirakan, bukan yang menjatuhkan. Kadang-kadang, diam lebih baik daripada ketawa yang menyakitkan. Mungkin kita sudah lupa gurauan kita, tapi orang yang kita lukakan itu belum tentu boleh lupa, dan sesungguhnya lidah itu lebih tajam dari mata pedang.