Persahabatan adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat berharga. Namun, dalam realiti hari ini, tidak semua persahabatan dibina atas dasar keikhlasan.
Ada yang menjalin hubungan semata-mata kerana kepentingan tertentu seperti harta, pengaruh atau manfaat duniawi. Hakikatnya, persahabatan yang sebegini rapuh dan akan mudah retak apabila kepentingan tersebut hilang.
Dalam Islam, persahabatan yang sejati adalah kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka.”
(Sahih Muslim No: 43)
Hadis ini menegaskan bahawa cinta dan kasih dalam persahabatan haruslah dibina atas dasar iman, bukan kerana keuntungan sementara.
Persahabatan yang ikhlas akan melahirkan hubungan yang saling menasihati, membantu ketika susah, dan mendoakan dalam senang atau duka. Ia bukan sekadar berkongsi tawa, tetapi juga teguran penuh kasih sayang apabila salah langkah.
Inilah tanda persahabatan yang diberkati, kerana sahabat yang baik akan menarik kita lebih dekat kepada Allah SWT, bukan menjauhkan.
Sebaliknya, persahabatan yang hanya berlandaskan manfaat duniawi tidak akan kekal lama. Apabila kepentingan sudah tiada, hubungan akan terputus dan bertukar menjadi permusuhan.
Firman Allah SWT dalam Surah az-Zukhruf, ayat 67:
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”
Oleh itu, marilah kita membina persahabatan atas dasar keikhlasan kerana Allah SWT. Dengan itu, hubungan yang terjalin akan menjadi sumber kekuatan, keberkatan, serta membawa kita bersama menuju redha Allah di dunia dan akhirat.
Sumber: Universiti Teknologi Malaysia