
Tindakan pempengaruh dan usahawan Jofliam ingin menghadiahkan lampu hiasan berbentuk kuda kepada individu bukan Islam mencuri perhatian ramai. Beliau menjelaskan, keputusan ini dibuat kerana ingin menjadi Muslim yang lebih baik, dan hatinya terasa tidak selesa untuk terus menyimpan barang tersebut.
Langkah ini bukan sekadar tentang melepaskan satu hiasan rumah, tetapi simbol perubahan hati yang mahu lebih dekat dengan Allah.
Dalam Islam, perubahan ke arah kebaikan bermula apabila hati mula peka terhadap perkara yang membawa syubhat atau keraguan. Rasulullah SAW bersabda :
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya : “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.”
Riwayat Al-Tirmizi (2518)
Apabila seorang Muslim merasa was-was terhadap sesuatu, meninggalkannya adalah tanda menjaga iman walaupun perkara itu kelihatan kecil di mata orang lain.
Apa yang dilakukan oleh Jofliam memberi contoh bahawa hijrah tidak semestinya datang dalam bentuk besar seperti berpindah tempat atau meninggalkan pekerjaan.
Kadangkala ia bermula dengan tindakan sederhana seperti melepaskan sesuatu yang tidak selari dengan hati nurani seorang Muslim. Inilah sifat taqwa, iaitu sentiasa memilih jalan yang lebih selamat bagi menjaga hubungan dengan Allah.
Kisah ini juga mengingatkan kita bahawa menjadi Muslim yang lebih baik adalah perjalanan berterusan. Setiap langkah kecil yang diambil dengan niat ikhlas, walaupun sekadar membuang atau menghadiahkan barang yang tidak memberi manfaat akhirat, tetap dinilai tinggi oleh Allah.
Semoga tindakan ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk sentiasa menilai semula apa yang ada dalam hidup, dan berani meninggalkan sesuatu demi keredaan-Nya.
Sumber: OhBulan!