
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), mengingatkan umat Islam bahawa menamakan haiwan peliharaan, termasuk kucing, dengan nama Nabi atau manusia adalah haram, menurut ijmak ulama.
Tegas beliau, ini adalah adab yang perlu dijaga kerana nama Nabi membawa kemuliaan yang tidak sepatutnya disandarkan kepada makhluk selain manusia.
Peringatan ini selari dengan pandangan Syeikhul Azhar Dr Ahmad Tayyib yang menjelaskan bahawa manusia telah dimuliakan oleh Allah sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dan sungguhnya Kami telah muliakan keturunan Adam dan Kami mudahkan bagi mereka perjalanan di laut dan di darat dan Kami rezekikan mereka itu dari rezeki yang baik-baik dan Kami telah lebihkan akan mereka itu atas kebanyakkan daripada makhluk Kami dengan kelebihan yang banyak.“
(Al-Isra’ Ayat 70)
Oleh itu, menamakan haiwan dengan nama yang dimuliakan adalah satu bentuk penghinaan terhadap kemuliaan tersebut.
Dalam Islam, memberi nama bukan sekadar panggilan, tetapi membawa makna dan penghormatan. Justeru, menggunakan nama benda seperti bunga, laut, atau pokok untuk haiwan adalah dibenarkan.
Ramai netizen turut bersetuju dengan teguran ini, bahkan ada yang berkongsi bahawa pesanan sebegini telah lama menjadi amalan keluarga mereka.
Ada yang mengaku rasa tidak sedap hati apabila mahu menamakan kucing dengan nama manusia dan kini faham bahawa larangan ini berlandaskan syarak, bukan sekadar adat orang tua-tua.
Teguran UAI ini mengingatkan kita bahawa dalam Islam, perkara kecil seperti nama pun adabnya. Meskipun nampak remeh, ia mencerminkan rasa hormat kita kepada insan yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Ini juga menunjukkan bahawa menjaga nama adalah sebahagian daripada menjaga maruah. Wallahu a’lam.
Sumber: SirapLimau