Setiap kali tibanya 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia memperingati Maulidur Rasul, hari kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Sambutan ini bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi peluang untuk kita bermuhasabah mengenai sejauh mana kecintaan dan penghayatan kita terhadap ajaran Baginda.
Nabi SAW bukan sahaja pembawa risalah Islam, tetapi juga rahmat bagi sekalian alam yang membawa umat manusia keluar daripada kegelapan jahiliah menuju cahaya iman.
Dalam kehidupan seharian, muhasabah boleh dilakukan dengan menilai amalan kita.
Adakah kita menjaga solat, berakhlak mulia, berlaku adil dalam pekerjaan, serta mengasihi keluarga dan masyarakat sebagaimana diajarkan Nabi SAW?
Tanpa muhasabah, sambutan Maulidur Rasul hanya tinggal sebagai sekadar sambutan tanpa memberi kesan mendalam kepada hati.
Sambutan ini juga wajar dijadikan kesempatan untuk memperbanyakkan selawat, membaca sirah Nabi, serta menanam azam untuk memperbaiki kelemahan diri.
Baginda SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia, maka sebaik-baik cara meraikannya ialah dengan berusaha memperbaiki akhlak dan mencontohi sifat Baginda dalam kehidupan.
Justeru, Maulidur Rasul seharusnya difahami sebagai ruang memperbaharui iman dan meningkatkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.
Dengan bermuhasabah, kita akan lebih sedar akan kekurangan diri, lalu berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui jalan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sumber: Harian Metro