Kisah kasih seorang suami menjaga isteri yang sakit tenat menarik perhatian ramai apabila beliau berkata: “Dulu dia sihat saya sayang, bila dia sakit, saya lagi sayang.”

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di TikTok, suami ini sendiri diuji dengan penyakit buah pinggang tahap lima namun tetap menyandang tanggungjawab menjaga isterinya yang lumpuh, tidak boleh bercakap dan makan melalui tiub.

Kesetiaan ini bukan sahaja menyentuh hati ramai, tetapi memberi pengajaran tentang cinta sebenar yang diuji melalui kesusahan. Dalam Islam, kasih sayang suami isteri adalah satu amanah dan ibadah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (Riwayat al-Tirmidhi)

Merawat pasangan yang sakit, meskipun berat dan memenatkan, adalah bentuk pengorbanan yang sangat mulia. Ia mencerminkan rumahtangga yang kukuh serta iman yang tidak mudah goyah ketika diuji.

Kasih sayang yang dipupuk dalam ujian adalah tarbiyah jiwa. Allah menjanjikan pahala besar kepada mereka yang sabar dan ikhlas menghadapi ujian.

Suami ini juga memilih untuk tidak menjalani dialisis demi menjaga isteri kerana risau nanti tiada siapa yang akan menjaganya.

MasyaAllah, sungguh mulia niat si suami, mengutamakan isteri sebelum dirinya sendiri.

Sikap sebegini menunjukkan keyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui setiap pengorbanan dan akan membalasnya dengan balasan yang baik.

Sebagai masyarakat, kita dididik oleh Islam untuk saling menghargai dan membantu dalam setiap ujian. Kesetiaan suami ini menjadi inspirasi kepada semua agar suami dan isteri memegang teguh kepada nilai kasih, amanah dan perhatian terhadap satu sama lain.

Sumber: OhBulan!