Generasi muda merupakan aset penting bagi kelangsungan agama, bangsa dan negara. Dalam membentuk jati diri mereka, sudah pasti perlukan idola yang benar-benar layak dijadikan contoh.
Rasulullah SAW ialah suri teladan terbaik sepanjang zaman, bukan sahaja kepada orang dewasa tetapi juga kepada golongan muda yang sedang mencari arah dan pedoman hidup.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Ayat ini jelas membuktikan bahawa Baginda merupakan idola yang sempurna dijadikan contoh dalam semua aspek kehidupan.
Keperibadian Rasulullah SAW sangat dekat dengan jiwa anak muda. Baginda seorang yang berani, amanah, jujur, penyayang, berdisiplin serta sentiasa menjaga maruah diri.
Sifat-sifat ini amat relevan dengan cabaran generasi kini yang berdepan pelbagai pengaruh negatif. Jika generasi muda mencontohi akhlak Baginda, mereka akan lebih kuat menghadapi tekanan hidup dan mampu menjadi pemimpin yang berintegriti.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menitikberatkan ilmu, kesihatan, persahabatan dan semangat tolong-menolong. Semua ini adalah nilai yang perlu diterapkan dalam diri generasi muda agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi rohani, akhlak, dan tanggungjawab sosial.
Menjadikan Baginda sebagai idola bermakna kita tidak hanya mengagumi, tetapi juga berusaha mengamalkan sunnah dan mencontohi akhlak mulianya.
Oleh itu, generasi muda perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan utama dalam kehidupan. Dengan meneladani Baginda, mereka akan lebih mudah mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi serta mampu menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang diredhai Allah SWT, InsyaAllah.