Dalam kesibukan dunia yang tidak pernah habis, kerja, urusan akademik, urusan keluarga, media sosial sering kali mendorong seseorang itu menunda solat ke hujung waktu.
Kita kata “nanti”, kita kata “kejap lagi”, sampai akhirnya solat itu dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa khusyuk, hanya untuk ‘cukup ‘syarat’. Tapi kalau kita jujur dengan diri sendiri, sebenarnya apa yang kita kejar sangat sampai hak Allah pun sanggup kita abaikan?
Allah SWT telah menetapkan waktu-waktu solat sebagai tanda keimanan dan disiplin seorang Muslim. Dalam Surah an-Nisa’ ayat 103, Allah berfirman:
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Maka bila kita sengaja melewatkannya tanpa sebab syarie, itu bukan sekadar cuai, ia petanda hati kita sedang dikuasai dunia.
Kita kerja kuat, kejar rezeki, nak selesa hidup tapi rezeki itu milik siapa? Kita belajar penat-penat, nak masa depan cerah tapi masa depan itu dalam genggaman siapa?
Solat yang kita abaikan itu adalah jalan utama untuk dapatkan keberkatan dalam semua yang kita kejar. Tanpa solat yang dijaga waktunya, apa jaminan bahawa usaha kita akan membuahkan hasil yang diredai?
Bila kita jaga dunia, tapi tak jaga solat, hidup akan rasa serabut walaupun nampak cukup. Tapi bila kita jaga solat, walau dunia tak sepenuhnya berpihak keada kita, hati tetap akan rasa lapang.
Allah janji dalam Surah Taha ayat 132:
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Maka, letaklah solat di tempat teratas kerana di situ terletaknya keberkatan seluruh hidup kita.