Mencari aib orang lain mungkin bermula hanya kerana rasa ingin tahu, tetapi tanpa sedar kita boleh melakukan perbuatan yang jelas ditegah oleh Allah SWT.
Pernah dengar istilah tajassus (التجسس)?
Dalam kehidupan hari ini, perbuatan ini boleh berlaku apabila seseorang terlalu sibuk mahu mengetahui perkara peribadi orang lain, lalu sengaja menyelidik sesuatu yang disembunyikan.
Ia bukan sekadar “ternampak” atau mengetahui sesuatu secara tidak sengaja.
Sebaliknya, seseorang sengaja menyiasat sehingga berjaya membongkar perkara yang tidak sepatutnya menjadi urusannya.
Mencari Aib Orang, Inilah Yang Dimaksudkan Dengan Tajassus
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili seperti dinukilkan Mufti Wilayah, tajassus bermaksud mencari-cari keaiban tersembunyi daripada orang Muslim yang lain.
Al-Baghawi pula menerangkannya sebagai perbuatan sengaja mencari kesalahan dan maksiat orang lain yang tersembunyi.
Mudahnya, mencari aib bukan berlaku secara tidak sengaja. Kita sendiri yang mahu menyelidik dan membongkarnya.
Larangan tersebut disebut secara jelas dalam Surah al-Hujurat ayat 12:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Mufti Wilayah menjelaskan bahawa ayat ini mengandungi larangan terhadap perbuatan tajassus.
Daripada Sangkaan, Mencari Aib Kemudian Mengumpat
Menariknya, dalam satu ayat yang sama, Allah SWT menyebut tiga perkara yang boleh saling berkait:
اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ
“Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan.”
Kemudian:
وَلَا تَجَسَّسُوا
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari.”
Seterusnya:
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا
“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.”
Ia memberi pengajaran penting. Kadangkala semuanya bermula dengan sangkaan terhadap seseorang.
Daripada rasa curiga itu, kita mula mencari aib, kemudian apa yang ditemukan pula diceritakan kepada orang lain.
Rasulullah SAW turut memberi amaran:
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلَا تَحَسَّسُوا، وَلَا تَجَسَّسُوا، وَلَا تَنَاجَشُوا، وَلَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Jauhilah sangkaan kerana sangkaan adalah sedusta-dusta percakapan. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan, janganlah saling mengintip, jangan melakukan najasy, jangan saling dengki, jangan saling membenci dan jangan saling membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
(Riwayat al-Bukhari, 6066)
Mencari Aib Di Media Sosial Pun Perlu Dijaga
Dalam dunia media sosial, mencari aib mungkin kelihatan lebih mudah.
Daripada satu gambar atau hantaran, seseorang boleh mula menyelidik akaun lama, membaca komen, mencari gambar terdahulu atau cuba mendapatkan maklumat peribadi hanya untuk membuktikan sangkaannya.
Tidak semua perbuatan melihat akaun media sosial secara automatik menjadi tajassus.
Namun apabila tujuannya memang untuk mencari aib dan membongkar perkara tersembunyi yang bukan urusan kita, prinsip larangan tersebut perlu diperhatikan.
Mufti Wilayah turut mengingatkan bahawa mencari kesalahan seseorang kemudian mengambil gambar dan menyebarkannya di media sosial merupakan perbuatan yang perlu dijauhi, lebih-lebih lagi apabila membuka ruang kepada persepsi buruk dan komen negatif.
Jangan Mencari Aib Hanya Kerana ‘Nak Tahu’
“Aku bukan nak sebarkan pun. Aku cuma nak tahu.”
Ayat seperti ini mungkin kedengaran biasa.
Namun Islam bukan sahaja mengajar supaya tidak menyebarkan keaiban seseorang, malah lebih awal daripada itu, kita sudah ditegah daripada mencari aib yang Allah tutup.
Rasa ingin tahu juga mempunyai batas.
Namun larangan ini tidak bermaksud semua penyiasatan adalah haram.
Terdapat keadaan tertentu melibatkan maslahat dan keperluan yang sah yang perlu melalui saluran sewajarnya.
Mufti Wilayah turut menjelaskan bahawa membuka aib mempunyai pengecualian tertentu apabila wujud maslahat yang diiktiraf syarak.
Bagi perkara peribadi yang bukan urusan kita, jangan sengaja mencari aib hanya untuk memuaskan rasa ingin tahu.
Kesimpulannya, tajassus mengajar kita satu batas penting dalam hubungan sesama manusia: tidak semua perkara kita berhak tahu.
Jaga sangkaan sebelum ia mendorong kita mencari aib.
Jika mengetahui sesuatu, jangan pula mudah menyebarkannya.
Kadangkala menjaga kehormatan saudara kita bermula dengan satu perkara yang sangat mudah iaitu berhenti menyiasat perkara yang memang bukan urusan kita.
Sumber: Threads, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Ustazah Asmak Husin Jelaskan Konsep Aib Dalam Menutup Aurat, Syariat Bukan Sekadar Tutup Rambut
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.