Baru-baru ini, personaliti media sosial sensasi, DMA Islam, menimbulkan kontroversi apabila menulis di media sosial beliau:

“Ciri isteri bodo: Bekerja walaupun suami dah provide everything

Kenyataan ini mencetus kemarahan netizen kerana ianya dianggap menghina wanita yang bekerja dan menafikan niat baik mereka dalam mengejar karier atau menyara keluarga.

Islam sebenarnya sangat menghormati wanita dan mengiktiraf peranan mereka dalam masyarakat.

Surah Al-Ahzab Ayat 35 menegaskan bahawa lelaki dan wanita adalah setara dari segi akhlak, saksama di sisi Allah, dan mempunyai potensi amal yang sama untuk diberi ganjaran.

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Dalam sejarah Islam pula, wanita seperti Khadijah RA (seorang usahawan berjaya), Shifa bint Abdullah (pegawai pemeriksa di pasar di Madinah), dan Rufaida al-Aslamia (jururawat pertama dalam Islam) membuktikan bahawa wanita dalam Islam bukan hanya dibenarkan bekerja, malah memastikan mereka menyumbang secara aktif sambil menjaga maruah dan peranan keluarga.

Pendekatan Islam terhadap wanita bekerja bukan bersifat mengehadkan, tetapi membimbing agar pekerjaan mereka halal, selamat, beretika, dan tidak mengabaikan tugas kepada keluarga atau agama.

Tanggungjawab suami untuk menyara keluarga tidak seharusnya menghalang inisiatif wanita untuk bekerja atas niat membantu, berkembang, atau memberi impak sosial positif.

Sumber: Beautifulnara & Threads