(Sumber: X)

Dalam masyarakat hari ini, ramai wanita terlalu mencurahkan seluruh hidup mereka kepada perkahwinan sehingga hilang arah dan identiti diri sendiri. Seperti yang dikongsi oleh seorang wanita dalam hantaran ini, beliau mengorbankan segalanya demi menjadi isteri yang baik.

Memutuskan hubungan sosial, meninggalkan minat peribadi, dan menumpukan seluruh hidupnya kepada suami serta keluarga mertua. Namun selepas 12 tahun, apabila perkahwinan itu berakhir, beliau mendapati dirinya keliru dan hilang arah kerana tidak lagi tahu siapa dirinya di luar peranan sebagai seorang isteri.

Islam tidak pernah menuntut seorang wanita untuk kehilangan dirinya dalam institusi perkahwinan. Malah, sebelum menjadi isteri, seorang wanita adalah hamba Allah yang wajib menjaga fitrah dirinya, mengembangkan potensi, dan terus mendekatkan diri kepada penciptaNya.

Firman Allah dalam Surah Az-Zariyat ayat 56:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Ini bermakna, tujuan hidup manusia tidak pernah berubah walau apapun peranan yang mereka sandang dalam kehidupan.

Kehidupan sebagai isteri adalah satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang benar dan cara yang betul. Tetapi ia bukan satu-satunya tujuan hidup. Islam memberi ruang kepada wanita untuk menuntut ilmu, berkarya, memberi manfaat kepada masyarakat, dan membina harga diri yang kukuh.

Kualiti diri seorang wanita tidak semata-mata bergantung kepada hubungan dengan suami, tetapi kepada hubungan dengan Allah SWT.

Oleh itu, wanita perlu belajar mencintai diri mereka sebagai hamba Allah sebelum mencintai peranan duniawi yang lain. Perkahwinan adalah sebahagian daripada kehidupan, bukan keseluruhan hidup.

Apabila kita menjadikan Allah SWT sebagai tujuan utama, kita tidak akan mudah hilang arah walau apa pun takdir yang menimpa, MashaAllah.