Berkongsi gambar bayi di media sosial sering menjadi cara ibu bapa meraikan kehadiran cahaya mata dan meluahkan rasa syukur. 

Namun, keterujaan tersebut wajar disertai pertimbangan terhadap privasi, keselamatan serta kesejahteraan anak.

Dalam membincangkan penyakit ain, ibu bapa digalakkan memohon perlindungan Allah SWT untuk anak-anak melalui doa dan amalan yang diajarkan Rasulullah SAW. 

Perkongsian kebahagiaan juga perlu dilakukan secara berhemah, tanpa menimbulkan ketakutan berlebihan atau menganggap setiap pandangan dan pujian membawa kemudaratan.

Maksud Penyakit Ain Menurut Ulama Islam

Penyakit ain merujuk kepada kemudaratan akibat pandangan mata yang berlaku dengan izin Allah SWT. 

Dalam perbahasan ulama, ain dikaitkan dengan pandangan yang disertai hasad atau kekaguman terhadap seseorang.

Justeru, apabila melihat sesuatu yang mengagumkan, umat Islam dianjurkan mendoakan keberkatan buat pemiliknya. 

Manakala, ibu bapa pula boleh membiasakan doa perlindungan untuk anak-anak, sambil menjaga batas perkongsian maklumat dan gambar mereka di media sosial.

Nabi Muhammad SAW mempertegaskan kebenaran fenomena ini menerusi sabda Baginda:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ

Maksudnya: “Penyakit ain itu adalah benar (wujud). Jika ada sesuatu yang dapat mendahului takdir, nescaya ain itulah yang dapat mendahuluinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kewujudan penyakit ain diakui dalam Islam, bagaimanapun kewaspadaan terhadapnya perlu berpandukan ilmu agar tidak menimbulkan ketakutan berlebihan atau prasangka terhadap orang lain.

Nasihat Amin Idris Tentang Perkongsian Wajah Bayi Di Media Sosial

Mengulas perkongsian gambar bayi di media sosial, penceramah Amin Idris menasihatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika memaparkan wajah anak kepada umum.

Jelasnya, bayi belum mampu membaca doa sendiri, maka ibu bapa berperanan mendoakan perlindungan dan kesejahteraan mereka.

Malah, tindakan menutup atau mengaburkan wajah bayi serta menangguhkan perkongsian gambar merupakan antara langkah berjaga-jaga yang boleh dipilih. 

Namun, langkah tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai jaminan terhindar daripada penyakit ain atau kewajipan agama bagi setiap ibu bapa.

“Kalau kita yang sudah dewasa ini sekurang-kurangnya kita boleh baca doa sendiri. 

Masalahnya bayi ini baru lahir, dia tak boleh berdoa untuk diri sendiri sebagai pelindung daripada ain. Maka menjadi adab dan akhlak kita sebagai ibu bapa, kalau lah nak muat naik  gambar anak, tutup muka. 

“Dulu saya ingat, Neelofa dan PU Riz dahulu, pertama dia ambil masa untuk mereka muat naik gambar anak mereka Bilal, dan sampai satu masa bila mereka nak muat naik juga mereka ‘blur’ kan gambar untuk mengelak benda-benda beginilah”.

Riwayat Tentang Tangisan Kanak-Kanak Dan Penyakit Ain

Perbahasan mengenai penyakit ain turut merangkumi riwayat berkaitan kanak-kanak pada zaman Rasulullah SAW. 

Walau bagaimanapun, tangisan bayi sahaja tidak memadai untuk menyimpulkan bahawa mereka terkena ain sekali gus punca ketidakselesaan dan masalah kesihatan tetap perlu diberi perhatian.

Dalam sebuah riwayat Imam Ahmad, Saidatina Aisyah RA menceritakan:

“Pada suatu ketika, Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah lalu mendengar seorang anak kecil menangis teresak-esak. Baginda SAW lantas bertanya: “Adakah anak kecilmu ini menangis?” Aisyah menjawab: “Tidak.” Lalu Baginda SAW bersabda:

هَلاَّ اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنَ الْعَيْنِ

Maksudnya: “Mengapa kamu tidak mengubatnya daripada gangguan penyakit ain?” (Hadis Riwayat Ahmad)

Petunjuk hadis ini membuktikan bahawa tangisan berterusan pada bayi boleh menjadi petanda awal mereka terkena penyakit ain akibat pandangan manusia di sekeliling.

Langkah Benteng Diri Dan Doa Pelindung Bayi Daripada Penyakit Ain

 penyakit ain

Bagi memelihara anak-anak daripada bahaya penyakit ain, Islam mengajar beberapa langkah praktikal dan doa perlindungan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa pada setiap hari.

Antara amalan utama untuk mengelakkan penyakit ain termasuklah:

  1. Membaca Doa Perlindungan Rasulullah SAW: Meniupkan doa perlindungan pada ubun-ubun bayi sebagaimana yang pernah dilakukan Baginda SAW kepada Cucu Baginda, Hassan dan Hussain.
  2. Elak Mempamerkan Kecomelan Secara Melampau: Mencegah diri daripada memuat naik gambar anak secara berlebihan di media sosial tanpa sebarang keperluan.
  3. Membiasakan Ucapan Masya-Allah: Sentiasa mengingatkan orang ramai atau netizen agar mengucapkan Masya-Allah Tabarakallah apabila memuji anak-anak kita.

Nabi SAW pernah membaca doa pelindung ini buat cucu Baginda:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Rumi: “Audhu bi kalimat Allah al-tammah, min kulli shaitanin wa hammah, wa min kulli ‘aynin lammah”

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa, dan daripada setiap mata yang jahat (ain).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ancaman Penyakit Ain Dan Peringatan Buat Ibu Bapa Di Alam Maya

Kewujudan penyakit ain diakui dalam Islam dan wajar dihadapi dengan ilmu, doa serta tawakal kepada Allah SWT. 

Ibu bapa berperanan menjaga keselamatan fizikal dan kesejahteraan rohani anak-anak, termasuk mempertimbangkan batas perkongsian gambar mereka di media sosial.

Menutup atau mengaburkan wajah anak merupakan pilihan untuk menjaga privasi, bukannya jaminan terhindar daripada ain. 

Oleh itu, hormatilah pilihan setiap keluarga tanpa menghukum atau menimbulkan ketakutan berlebihan. 

Sumber: Amin Idris 

BACA JUGA: 10 Perkara Merosakkan Qalbu Yang Perlu Dijauhi, Ada Yang Menjadi Tabiat Harian Kita Tanpa Sedar? Jom Muhasabah Diri

BACA JUGA: Rasa Dibenci & Didengki Orang? Ustaz Elyas Ismail Kongsi 3 Doa Terbaik Untuk Lindung Diri Daripada Kejahatan Manusia

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.