Baca Surah al-Taubah dari ayat pertama mungkin membuatkan sesetengah daripada kita tertanya-tanya kerana berbeza dengan surah lain, Basmalah tidak ditulis pada permulaannya.

Biasanya apabila membuka sesuatu surah, kita sudah terbiasa membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ sebelum meneruskan ayat pertama.

Namun, Surah al-Taubah atau dikenali juga sebagai Surah Bara’ah merupakan satu-satunya surah dalam al-Quran yang tidak dimulakan dengan Basmalah.

Jadi, kalau mahu baca Surah al-Taubah dari awal, adakah kita terus membaca ayat pertama?

Perlu baca isti‘azah dahulu? Bagaimana pula jika bacaan disambungkan terus daripada Surah al-Anfal?

Dalam ilmu tajwid, terdapat lima wajah bacaan yang boleh digunakan.

Baca Surah Al-Taubah Tidak Dimulakan Dengan Basmalah

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi menganjurkan pembaca al-Quran menjaga bacaan Basmalah pada permulaan setiap surah kecuali Surah al-Taubah.

Apabila mahu memulakan baca Surah al-Taubah, pembaca disarankan membaca isti‘azah atau ta‘awuz:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.”

(Surah al-Nahl: 98)

Ayat pertama Surah al-Taubah pula bermula:

بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدتُّم مِّنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab daripada Allah dan Rasul-Nya terhadap kaum Musyrikin yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).”

(Surah al-Taubah: 1)

Apabila seseorang memulakan terus dari ayat pertama, terdapat dua cara menghubungkan isti‘azah dengan Surah al-Taubah.

2 Cara Baca Surah Al-Taubah Jika Bermula Dari Ayat Pertama

baca surah al-taubah

1. Wakaf – Berhenti Selepas Isti‘azah

Cara pertama ialah membaca isti‘azah kemudian berhenti dan mengambil nafas, sebelum memulakan ayat pertama Surah al-Taubah.

Baca:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Kemudian berhenti, sebelum membaca:

بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدتُّم مِّنَ الْمُشْرِكِينَ

Ini dinamakan wakaf, iaitu memisahkan bacaan isti‘azah daripada ayat pertama.

2. Wasal – Sambung Isti‘azah Dengan Ayat Pertama

Cara kedua untuk baca Surah al-Taubah ialah menyambungkan terus isti‘azah dengan ayat pertama tanpa berhenti.

Maksudnya, selepas selesai menyebut:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

pembaca terus menyambung:

بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ…

Kedua-dua cara ini dilakukan tanpa membaca Basmalah.

3 Cara Baca Surah Al-Taubah Selepas Surah Al-Anfal

Tiga cara seterusnya digunakan dalam keadaan yang berbeza.

Jika seseorang sedang membaca Surah al-Anfal sehingga ayat terakhir dan mahu meneruskan baca Surah al-Taubah, tidak perlu membaca isti‘azah sekali lagi kerana dia sedang meneruskan bacaan al-Quran yang sama.

Penghujung Surah al-Anfal ialah:

إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Anfal: 75)

Daripada penghujung ini, terdapat tiga cara bacaan.

3. Wakaf – Berhenti Di Akhir Surah Al-Anfal

Baca sehingga:

إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Kemudian berhenti dan mengambil nafas sebelum memulakan:

بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ…

Tidak perlu membaca Basmalah di antara kedua-dua surah.

4. Saktah – Berhenti Seketika Tanpa Mengambil Nafas

Cara keempat ialah saktah.

Pembaca berhenti seketika selepas ayat terakhir Surah al-Anfal tanpa mengambil nafas, kemudian menyambung terus ayat pertama Surah al-Taubah menggunakan nafas yang sama.

Jabatan Mufti Wilayah menjelaskan saktah sebagai menghentikan suara seketika tanpa menarik nafas sebelum bacaan disambung semula.

5. Wasal – Sambung Terus Kedua-dua Surah

Cara terakhir ialah wasal, iaitu menyambungkan terus ayat terakhir Surah al-Anfal dengan ayat pertama Surah al-Taubah.

Bacaannya bergerak terus daripada:

إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

kepada:

بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ…

tanpa berhenti dan tanpa membaca Basmalah.

Mudah Ingat 5 Cara Baca Surah Al-Taubah

Jadi, lima cara ini sebenarnya lebih mudah difahami jika dibahagikan kepada dua keadaan.

Jika mula terus Surah al-Taubah:

  1. Isti‘azah → wakaf → ayat pertama.
  2. Isti‘azah → wasal → ayat pertama.

Jika sambung daripada Surah al-Anfal:

3. Wakaf.
4. Saktah.
5. Wasal.

Ketiga-tiga cara menyambung Surah al-Anfal dengan Surah al-Taubah juga dilakukan tanpa Basmalah.

Jabatan Mufti Wilayah menyatakan ketiga-tiga wajah tersebut sebagai wakaf, saktah dan wasal.

Maka, apabila mahu baca Surah al-Taubah, perkara paling mudah untuk diingati ialah jangan membacanya seperti permulaan surah lain dengan memasukkan Basmalah.

Jika baru memulakan bacaan al-Quran daripada Surah al-Taubah, mulakan dengan isti‘azah dan pilih sama ada berhenti atau menyambungkannya dengan ayat pertama.

Jika pula sedang meneruskan bacaan daripada Surah al-Anfal, terdapat tiga pilihan iaitu wakaf, saktah atau wasal.

Dengan mengetahui kaedah ini, kita bukan sahaja boleh baca Surah al-Taubah dengan lebih yakin, malah dapat memahami salah satu keunikan bacaan al-Quran yang mungkin selama ini terlepas daripada perhatian.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Tafsir Al-Quran

BACA JUGA: Satu-Satunya Surah Tak Dimulakan Dengan Bismillah, Ini 5 Sebab Surah Al-Taubah Berbeza Daripada Surah Lain

BACA JUGA: Dr Kamilin Kongsi 4 Sifat Rasulullah SAW Daripada Surah At-Taubah, Bukti Besarnya Kasih Baginda Kepada Umat

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.