Hafazan al-Quran sekali lagi mencuri perhatian apabila seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Kelantan, berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh yang amat luar biasa hanya lima bulan 10 hari.
Pencapaian itu bukan sahaja mengatasi rekod kebiasaan sekolah yang mengambil sekitar sembilan bulan, bahkan menyerlahkan bahawa keajaiban hafazan tidak pernah terletak pada usia, tetapi pada niat, disiplin dan keberkatan usaha.
Pelajar berkenaan, Adib Sufyan Suhaimi, 13 tahun, mendedahkan bahawa kekuatan hafalannya datang daripada istiqamah mengulang bacaan, menulis ayat-ayat al-Quran setiap hari, serta menjaga adab-adab kecil yang dipercayai memberi kesan kepada memori dan ketenangan jiwa.
Salah satu amalan yang menarik perhatian ialah usaha beliau mengelakkan makanan masam, sesuatu yang menjadi amalan tradisi ramai para huffaz lama sebagai ikhtiar untuk menjaga kekuatan ingatan.
Menurut Adib Sufyan, “Untuk menghafaz al-Quran, pertama sekali mesti ada niat. Kemudian kena bersungguh-sungguh. Setiap hari saya cuba hafaz antara lapan hingga sembilan helai al-Quran dan elakkan makanan masam.”
Tubuh, fikiran & hati yang bersih kunci jadi hafazan al-Quran
Walaupun tiada dalil khusus yang mensyaratkan makanan masam melemahkan hafalan, ulama menjelaskan bahawa menjaga gaya hidup, termasuk pemakanan, membantu memastikan tubuh dan fikiran berada pada keadaan optimum.
Aturan ini selari dengan tazkiyah al-nafs iaitu penyucian jiwa yang menjadi tunjang kepada hafazan al-Quran.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah menegaskan bahawa hati yang bersih dan jauh dari perkara yang melalaikan akan lebih mudah menerima ilmu. Ini selaras dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Maksudnya: Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.
(Surah al-Syams, 91:9)
Dalam majlis penyampaian insentif hafazan SMKA Tok Bachok, Adib Sufyan turut diraikan oleh pihak sekolah, YaPEIM dan Qashwa Travel yang menghadiahkannya sumbangan kewangan serta tajaan umrah tanda pengiktirafan terhadap kegigihan dan keberkatannya dalam dunia hafazan al-Quran.
Pengurus YaPEIM Negeri Kelantan, Che Nur Azila Che Ghani berkata, program tersebut melibatkan kira-kira 200 pelajar yang menerima insentif keseluruhan RM45,000, selain tambahan RM2,200 kepada pelajar hafiz dari Wakaf Bharu.
Beliau menjelaskan bahawa usaha ini sejajar dengan misi YaPEIM untuk menangani pembangunan pendidikan dan sosial melalui pengukuhan hubungan masyarakat dengan al-Quran.
Fenomena pelajar muda seperti Adib Sufyan sebenarnya menjadi motivasi kepada seluruh masyarakat. Dalam tradisi Islam, al-Quran tidak terhad kepada mereka yang berada di sekolah tahfiz sahaja. Sesiapa yang membaca, mengulang dan menyucikan hatinya pasti akan merasakan keberkatan al-Quran dalam hidup.
Rasulullah SAW bersabda mengenai para hafazan al-Quran:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini bukan sahaja motivasi, tetapi juga menandakan bahawa hafazan al-Quran adalah kemuliaan yang mengangkat darjat seseorang. Lebih menarik, Allah SWT berjanji bahawa al-Quran itu sendiri mudah dihafaz bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami mudahkan al-Quran untuk diingat, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran?
(Surah al-Qamar, 54:17)
Adab & disilin penting jadi penghafaz al-Quran
Kisah Adib Sufyan memperlihatkan bagaimana Allah membantu sesiapa yang menjaga adab dan disiplin.
Antara adab penting yang sering ditekankan oleh para masyaikh tahfiz ialah memelihara solat, menjaga pandangan, mengelakkan perkara lagha, serta sentiasa membaca al-Quran pada waktu yang tenang seperti selepas Subuh. Kesemua amalan ini mencipta suasana hati yang lembut dan mudah menerima hafalan.
Dalam konteks yang lebih luas, hafazan al-Quran bukan hanya tentang mengingati ayat-ayat suci. Ia adalah proses membina hubungan rohani dengan Allah, melatih konsistensi, dan mengawal nafsu dalam dunia yang penuh gangguan.
Seseorang yang menghafaz al-Quran akan melalui proses tazkiyah yang panjang, dan setiap helai yang berjaya dihafaz adalah cerminan kemenangan terhadap diri sendiri.
Bentuk keperibadian mukmin
Hafazan juga membentuk keperibadian mukmin. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa al-Quran itu akan menjadi syafaat kepada para penghafaznya.
اقْرَؤُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.
(Riwayat Muslim)
Dengan itu, kisah kejayaan Adib Sufyan bukan sekadar berita, tetapi satu peringatan bahawa hafazan al-Quran ialah perjalanan yang boleh dicapai sesiapa sahaja sama ada tua atau muda asalkan ada niat yang ikhlas, disiplin yang kukuh dan adab yang terjaga.
Ia bermula dengan sekecil-kecil langkah seperti memelihara rutin harian, menjaga kesihatan, menghiasi diri dengan bacaan al-Quran dan mencintai majlis ilmu.
Semoga kisah ini membuka inspirasi baharu kepada ibu bapa, guru, serta anak-anak muda seluruh Malaysia bahawa perjalanan bersama al-Quran adalah perjalanan paling indah, paling mulia dan paling mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sumber: Harian Metro
Artikel berkaitan: Anak Autisme Hafal 30 Juzuk Al-Quran Dalam 18 Bulan, Bukti Keistimewaan Bukan Kekurangan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!