Jawab bacaan imam bukan hanya dengan menyebut “Amin” selepas Surah al-Fatihah, malah terdapat beberapa ayat tertentu yang disebut oleh ulama bersama lafaz respons yang boleh dibaca selepas ayat tersebut.
Mungkin ada yang pernah mendengar imam selesai membaca Surah al-Tin, kemudian terdengar seseorang menyebut “Bala” atau lafaz tertentu sebelum imam meneruskan solat.
Adakah perbuatan tersebut mempunyai sandaran atau sekadar kebiasaan sesetengah jemaah?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan merujuk al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran karya Imam al-Nawawi, terdapat beberapa ayat khusus yang disebut bersama lafaz tertentu apabila selesai membacanya.
Antaranya melibatkan tiga surah iaitu al-Tin, al-Qiyamah dan al-Mursalat.
1. Jawab Bacaan Imam Selepas Surah Al-Tin
Surah pertama yang boleh diberikan respons ialah Surah al-Tin.
Apabila imam sampai dan selesai membaca ayat terakhir, iaitu ayat 8:
أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ
Maksudnya: “Bukankah Allah seadil-adil hakim?”
(Surah al-Tin: 8)
Selepas imam selesai membaca ayat tersebut, antara lafaz yang disebut ialah:
بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ
Bala wa ana ‘ala zalika minasy-syahidin.
Maksudnya: “Bahkan, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang menjadi saksi atas perkara itu.”
Mufti Wilayah menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi menyebut amalan tersebut sebagai sunat apabila sampai kepada ayat terakhir Surah al-Tin.
Jadi, jika mahu jawab bacaan imam, respons tersebut dilakukan selepas imam selesai membaca ayat 8, bukan ketika imam masih membaca ayat berkenaan.
2. Jawab Bacaan Imam Selepas Surah Al-Qiyamah
Surah kedua ialah Surah al-Qiyamah.
Pada ayat terakhir, Allah SWT berfirman:
أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَىٰ
Maksudnya: “Bukankah (Allah yang berkuasa) demikian itu berkuasa pula menghidupkan orang-orang yang mati?”
(Surah al-Qiyamah: 40)
Apabila imam selesai membaca ayat ini, lafaz ringkas untuk jawab bacaan imam ialah:
بَلَى
Bala.
Maksudnya: “Bahkan (benar).”
Lafaz ini selari dengan teks riwayat Abu Hurairah RA yang direkodkan dalam Sunan Abi Dawud no. 887.
Terdapat perbezaan pada paparan kesimpulan artikel Mufti Wilayah yang menyenaraikan lafaz lebih panjang bagi al-Qiyamah.
Namun, teks riwayat yang mereka petik menyebut بَلَى sahaja. Justeru, lafaz “Bala” lebih dekat dengan teks riwayat berkenaan.
3. Jawab Bacaan Imam Selepas Surah Al-Mursalat
Surah ketiga yang disebut ialah Surah al-Mursalat.
Pada ayat terakhir, iaitu ayat 50:
فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Maka kepada perkataan apakah sesudah al-Quran ini mereka akan beriman?”
(Surah al-Mursalat: 50)
Selepas imam selesai membaca ayat tersebut, lafaz untuk jawab bacaan imam ialah:
آمَنَّا بِاللَّهِ
Amanna billah.
Maksudnya: “Kami beriman kepada Allah.”
Sekali lagi, lafaz tersebut dibaca selepas ayat selesai, bukan mencelah ketika imam sedang membaca.
Perlu Ke Makmum Jawab Bacaan Imam Setiap Kali?
Walaupun terdapat lafaz yang boleh dibaca pada ayat-ayat tertentu, jangan pula menganggap makmum wajib jawab bacaan imam setiap kali tiga surah ini dibaca.
Prinsip utama ketika imam membaca al-Quran dalam solat berjemaah ialah makmum memberikan perhatian dan mendengar bacaannya.
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-A‘raf: 204)
Oleh itu, amalan jawab bacaan imam ini bukan bermaksud makmum bebas berzikir atau membaca apa sahaja ketika imam sedang membaca surah.
Secara mudah, tiga respons yang boleh diingati ialah:
- Al-Tin ayat 8: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ
- Al-Qiyamah ayat 40: بَلَى
- Al-Mursalat ayat 50: آمَنَّا بِاللَّهِ
Kesimpulannya, terdapat sandaran yang dibawakan ulama mengenai lafaz respons selepas ayat tertentu.
Namun, ia bukan bacaan wajib yang menentukan sah atau tidak solat.
Jika tidak jawab bacaan imam dengan lafaz tersebut, solat tetap sah.
Yang lebih utama ialah makmum terus menjaga kekhusyukan dan memberikan perhatian kepada bacaan al-Quran yang sedang diperdengarkan oleh imam.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Solat Tidak Sah Jika 5 Bacaan Rukun Solat Ini Tidak Didengari Telinga Sendiri
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.