Pengalaman suci menunaikan haji di Baitullah pastinya meninggalkan kesan spiritual yang luar biasa dan memori paling indah yang tidak akan mampu digambarkan dengan kata-kata oleh mana-mana insan terpilih.
Dapat menatap keindahan Kaabah secara depan-depan, bersujud di bumi haramain, serta berkumpul di Padang Arafah sebagai simbolik awal kepada perhimpunan di Mahsyar kelak, adalah nikmat yang mengalirkan air mata keinsafan.
Namun, ujian sebenar bermula apabila kaki melangkah pulang ke tanah air; bagaimanakah cara untuk kita terus mengekalkan rentak ibadah yang dahsyat seperti di Tanah Suci?
Bagi memastikan gelaran Haji dan Hajah yang disandang bukan sekadar adat, berikut adalah panduan praktikal demi mempertahankan anugerah haji mabrur melalui 9 tip utama yang wajib dihayati.
1. Melaksanakan Solat Sunat Dhuha Setiap Hari
Bukan mudah untuk mengekalkan momentum malam di Makkah apabila kita kembali ke realiti kesibukan kerja di Malaysia.
Walau bagaimanapun, Islam itu sangat memudahkan umatnya.
Perkara pertama yang boleh kita lazimi selepas menunaikan haji ialah menghidupkan solat sunat Dhuha pada setiap pagi.
Sebagai manusia yang kerdil dan lemah, jika kemampuan kita untuk bangun pada dua pertiga malam agak terbatas akibat keletihan urusan harian, solat Dhuha hadir sebagai pengganti yang sangat indah untuk menampung kelemahan tersebut.
Amalan ini tidak sukar untuk dimulakan.
Hadirkan diri awal ke pejabat dan terus dirikan solat Dhuha sebelum memulakan tugasan, atau lakukan ketika waktu rehat singkat (tea-break).
Dengan memperuntukkan masa sekitar 5 hingga 10 minit sahaja, kita sudah mampu membina benteng rohani yang kukuh sebelum berdepan dengan tekanan kerja.
2. Sentiasa Berada Dalam Keadaan Berwuduk
Satu lagi rahsia besar untuk mengekalkan momentum ibadah selepas menunaikan haji adalah dengan melatih diri sentiasa berada dalam keadaan suci atau menjaga wuduk.
Apabila kita sentiasa mempunyai wuduk, sekurang-kurangnya dua hikmah besar sedang menanti kita.
Pertama, ia memberikan ruang yang sangat luas dan mudah untuk tangan kita terus mencapai serta membaca Al-Quran pada bila-bila masa sahaja tanpa ada alasan bertangguh.
Kedua, dari sudut rohani, wuduk yang terpelihara akan menjemput hati kita supaya menjadi lebih lembut, tenang, dan tawaduk.
Ia bertindak sebagai perisai semula jadi yang melatih kita mengawal tekanan darah tinggi, menahan sifat marah, serta menguruskan tekanan kerja dengan lebih rasional dan berhemah mengikut acuan Islam.
3. Melazimi Solat Jenazah Dan Menziarahi Kubur
Semasa menunaikan haji dan berada di Masjidil Haram, hampir setiap kali tamat solat fardu, akan ada solat jenazah yang didirikan.
Suasana ini melatih para jemaah untuk sentiasa mengingati mati.
Sekembalinya ke tanah air, peluang pahala gajah ini jangan sesekali dilepaskan.
Luangkanlah masa untuk hadir ke masjid kariah apabila mendengar berita kematian jiran tetangga demi menunaikan solat jenazah dan ikutlah menghantar mereka sehingga ke liang lahad.
Amalan menziarahi kubur juga adalah ubat terbaik untuk mengubati hati yang mula dipaut cinta dunia.
Cuba renungkan sejenak; apabila kita sendiri tidak pernah berusaha untuk meluangkan masa menyembahyangkan jenazah orang lain hari ini, adakah kita mampu memberi jaminan yang orang lain akan sudi datang menyembahyangkan jasad kita apabila giliran kita tiba nanti?
4. Meraikan Bakal Haji Dan Berkongsi Pengalaman Suci
Jiwa seseorang yang telah selesai menunaikan haji sepatutnya sentiasa rindu dan cinta kepada Baitullah.
Salah satu cara untuk mengekalkan kehangatan cinta tersebut adalah dengan segera meraikan sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang bakal berangkat ke Tanah Suci pada musim seterusnya.
Turunlah padang membantu mereka, ziarahi rumah mereka sebelum mereka berangkat menunaikan haji, dan berikan kata-kata semangat.
Ambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman rohani dan tip-tip praktikal yang anda lalui di sana.
Namun, perkongsian ini perlulah dilakukan dengan penuh hikmah dan bersesuaian dengan sejauh mana pengalaman tersebut bersedia untuk diterima oleh bakal tetamu Allah, agar tidak timbul rasa riya’ atau menakut-nakutkan mereka.
5. Memelihara Istiqamah Solat Fardu Berjemaah
Sewaktu berada di hadapan Kaabah, kita mampu menjaga solat di awal waktu secara berjemaah dengan begitu disiplin.
Disiplin rohani ini wajib dipertahankan setelah selesai menunaikan haji demi membuktikan status hamba yang benar-benar bertaubat.
Jangan biarkan saf masjid di kariah kita kosong sedangkan kita merupakan alumni madrasah Makkah.
Ganjaran solat berjemaah ini tersangatlah besar, sepertimana sabda Nabi SAW:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةُ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian (dan ganjarannya) sebanyak 27 kali darjat.” (Riwayat Muslim)
Di tempat kerja, usahakan untuk meringkaskan waktu makan tengah hari dan segeralah melangkah ke surau pejabat apabila azan berkumandang.
Jika tiada mesyuarat yang mendesak, ambillah waktu untuk berehat sebentar bagi menunaikan solat Asar berjemaah bersama rakan sekerja.
6. Menjadi Contoh Dan Ikutan Terbaik Dalam Masyarakat
Seseorang yang telah selesai menunaikan haji memikul amanah yang berat untuk menjadikan diri mereka sebagai contoh teladan (qudwah hasanah) kepada masyarakat sekeliling.
Gelaran Haji dan Hajah selepas menunaikan haji bukan sekadar hiasan nama, tetapi ia adalah simbol integriti iman.
Kita tentu pernah teringat babak sinis dalam filem lama seniman agung P. Ramlee apabila watak A.R. Tompel menyebut, “Takkanlah Pak Aji nak menipu.”
Kata-kata ini, walaupun dalam bentuk komedi, sebenarnya adalah refleksi jangkaan masyarakat terhadap akhlak seorang haji.
Oleh itu, pasanglah azam yang kuat untuk membetulkan urusan muamalah kita, jujur dalam perniagaan, menjaga lisan daripada mengumpat, serta menjadi contoh ikutan yang paling bersih dalam komuniti.
7. Menambah Ilmu Agama Secara Berterusan
Cabang ilmu Allah itu sangat luas dan melata di atas muka bumi ini.
Pengalaman suci menunaikan haji sepatutnya menjadi titik tolak yang mengetuk pintu hati kita untuk terus dahagakan ilmu pengetahuan, bukannya berasa sudah cukup amalan.
Jangan biarkan momentum rohani hancur begitu sahaja akibat kejahilan yang tidak dirawat.
Langkah terbaik adalah dengan melazimkan diri menghadiri majlis-majlis ilmu, kuliah maghrib, atau daurah kitab di masjid dan surau berdekatan.
Ini amat penting bagi menggilap kembali kualiti amalan harian, membetulkan bacaan serta kefahaman syariat, sekali gus membantu kita untuk terus istiqamah meningkatkan martabat takwa di dalam pelbagai bidang kehidupan.
8. Menghidupkan Rutin Quranic Marathon Di Rumah
Semasa di Makkah dan Madinah, pemandangan jemaah memegang Al-Quran ketika menunaikan haji adalah perkara biasa yang kita lihat setiap jam.
Sekembalinya kita ke tanah air, hidupkanlah kembali budaya Quranic marathon ini di dalam rumah tangga kita sendiri.
Jadikan membaca Al-Quran sebagai rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan oleh seluruh ahli keluarga biarpun selepas menunaikan haji.
Namun, peningkatan yang perlu dilakukan selepas menunaikan haji adalah bukan sekadar membaca teks semata-mata, tetapi perlu ditambah dengan penghayatan mendalam serta mendalami maksud terjemahannya.
Dengan cara ini, ayat-ayat suci Al-Quran akan benar-benar meresap ke dalam jiwa dan menjadi panduan utama dalam kita mengamalkan sunnah baginda Rasulullah SAW.
9. Bersedekah Dan Memiliki Semangat Berkorban
Kemuncak kepada pengajaran ibadah haji adalah kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Sifat sedia berkorban harta demi jalan Allah ini wajib subur dalam sanubari jemaah.
Jadikanlah amalan bersedekah sebagai aktiviti wajib setiap hari tanpa culas.
Fikirkan sejenak, adakah sukar bagi kita untuk memperuntukkan sekecil-kecil nilai seperti RM1 sehari untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid, institusi Islam, atau diberikan kepada individu yang memerlukan?
Nilai RM1 mungkin kecil bagi kita, tetapi konsistensi (istiqamah) dalam memberi itulah yang paling dicintai oleh Allah SWT dan mampu menjadi asbab mengalirnya keberkatan rezeki yang melimpah-ruah.
Kejar Doa Kebaikan Yang Hakiki
Sebagai penutup, proses mempertahankan iman pasca-haji adalah sebuah perjuangan yang panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Jangan pernah berhenti daripada menadah tangan berdoa memohon ketetapan iman daripada Allah SWT.
Gunakanlah doa yang sering kita laungkan semasa mengelilingi Kaabah dahulu untuk dijadikan wirid harian:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah al-Baqarah: 201)
Semoga dengan mengamalkan kesembilan-sembilan tip praktikal ini, setiap daripada kita yang telah selesai menunaikan haji dibantu oleh Allah SWT untuk kekal menjadi hamba yang bertakwa, dilindungi daripada sifat riya’, serta dikurniakan pengakhiran hidup yang baik (husnul khatimah). Wallahu a’lam.
Sumber: PTS
BACA JUGA: Malaysia Juara Dunia Lagi, Tabung Haji Terima Diamond Award Labbaittom 2026 Pengurusan Haji Terbaik
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.