Pernah tak kita menonton satu siaran langsung, orang ketawa berdekah-dekah, ruangan komen penuh dengan emoji ketawa, tetapi dalam masa yang sama hati kita rasa tidak sedap?

Itulah kesan apabila lawak lucah mula dianggap hiburan biasa.

Sekali orang ketawa, dua kali orang terbiasa, lama-lama dosa jadi budaya.

Perkongsian daripada Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini mengajak kita melihat satu realiti yang semakin membimbangkan.

Gurauan ‘double meaning’ yang berunsur seksual, disampaikan secara terbuka, ditonton ribuan orang, lalu disambut dengan gelak tawa seolah-olah tiada apa yang salah.

Hakikatnya, perkara ini bukan kecil di sisi agama.

Ia menyentuh maruah, adab lisan dan batas pergaulan yang sangat dijaga dalam Islam.

Lawak Lucah bukan gurauan suci di sisi Allah

Allah SWT telah memberi peringatan yang sangat jelas tentang bagaimana seorang mukmin sepatutnya menjaga tutur kata:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik.”
(Surah Al-Isra’: 53)

Ayat ini bukan sekadar adab bercakap, tetapi prinsip menjaga maruah manusia lain.

Lawak lucah yang mengaitkan tubuh badan, isyarat seksual atau pandangan tidak sopan bukanlah “perkataan yang lebih baik” seperti yang diperintahkan Allah.

Rasulullah SAW juga telah menetapkan garis panduan yang sangat mudah tetapi tegas:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di manakah letaknya kebaikan dalam gurauan yang menjatuhkan maruah orang lain?

Lawak Lucah boleh menjadi gangguan seksual tanpa disedari

Dalam Akta Anti Gangguan Seksual 2022, disebut bahawa kelakuan berunsur seksual sama ada secara lisan, isyarat, pandangan atau perbuatan yang menyinggung dan menghina adalah satu bentuk gangguan seksual.

Apabila seseorang membuat kenyataan berunsur seksual sambil memandang ke arah tubuh badan wanita, walaupun dibungkus dengan gelak ketawa, ia tetap memenuhi ciri gangguan tersebut.

Lawak lucah tidak menjadi halal hanya kerana orang ketawa.

Ada yang berkata, “Dia nampak okay je”, “Dia tak marah pun”.

Tetapi dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai freeze response atau reaksi kaku apabila seseorang berasa terancam.

Diam bukan tanda reda. Senyum bukan tanda suka. Ketawa bukan tanda rela.

Islam telah lama mengajar prinsip ini melalui sabda Nabi SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh membalas mudarat.” (Riwayat Ibn Majah)

Jika kata-kata kita memudaratkan jiwa orang lain, walaupun kononnya gurauan, ia tetap salah di sisi agama.

Lawak Lucah menormalisasikan dosa dalam masyarakat

Psikologi sosial menjelaskan bahawa apabila sesuatu tingkah laku diulang dalam suasana gelak ketawa, otak manusia akan mula menganggapnya sebagai normal.

Hari ini gurauan tentang tubuh badan. Esok sindiran haid, ugutan cerai, tuduhan mengandung.

Lama-kelamaan, masyarakat hilang sensitiviti terhadap maruah.

Semuanya bermula dengan ayat, “Ala… gurau je.”

Sedangkan Rasulullah SAW juga bergurau, tetapi Baginda tidak pernah berdusta, tidak pernah melukakan hati, dan tidak pernah menjatuhkan maruah sesiapa.

Lawak Lucah bercanggah dengan perintah menjaga pandangan

Allah SWT mendahulukan perintah kepada lelaki sebelum wanita dalam menjaga kehormatan:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan mereka.” (Surah An-Nur: 30)

Ayat ini menunjukkan bahawa tanggungjawab lelaki bermula dengan mata, kemudian lidah, kemudian akhlak.

Lawak lucah sering bermula dengan pandangan yang tidak dijaga, lalu diterjemah menjadi kata-kata yang tidak beradab.

Tidak boleh berselindung di sebalik alasan, “Lelaki memang macam tu.”

Islam tidak pernah membenarkan nafsu dijadikan alasan.

Lawak Lucah jadi lebih bahaya apabila diviralkan

lawak lucah
Gambar Bahagian Dakwah, JAKIM

Apabila seseorang pempengaruh bercakap di hadapan puluhan ribu penonton, dia sebenarnya sedang membentuk budaya.

Follower adalah amanah. View adalah ujian. Viral bukan lesen untuk berdosa.

Rasulullah SAW mengingatkan:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang yang dipimpinnya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila lawak lucah dinormalisasikan oleh figura awam, ia memberi mesej bahawa perkara itu boleh diterima masyarakat.

Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri.

Jika ayat itu tidak sanggup kita dengar ditujukan kepada ibu, isteri, anak perempuan, kakak atau adik kita, mengapa kita sanggup ketawa apabila ia ditujukan kepada orang lain?

Masyarakat tidak boleh hanya menjadi penonton.

Menegur dengan hikmah adalah tanggungjawab sesama Muslim agar budaya ini tidak terus membarah.

Moga Allah membersihkan lisan kita daripada kata-kata yang melukakan, menjaga pandangan kita daripada khianat, dan memelihara masyarakat kita daripada dosa yang berselindung di sebalik gelak ketawa.

Sumber: Bahagian Dakwah, JAKIM

BACA JUGA: Trend ‘67’ Nampak Lawak, Tapi Ibu Bapa Perlu Ambil Serius Pendidikan Tauhid Anak-Anak

BACA JUGA: LAWAK ‘KONTANG IDEA’ SENTUH STATUS PERKAHWINAN? PU Riz Tempelak Maruah Diperlekeh

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!