Pahang mencatat sejarah gemilang apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki sebuah Universiti Al-Quran sepenuhnya, menandakan satu lonjakan besar dalam dunia pendidikan tinggi Islam di negara ini.

Pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang atau UNIQSAAS ini bukan sekadar perubahan status sesebuah institusi, malah ia membuka lembaran baharu ke arah pembentukan sebuah universiti unggul yang meletakkan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu, penyelidikan dan pembinaan tamadun.

Detik Bersejarah Pemasyhuran Universiti Al-Quran Pertama Negara

universiti al-quran

Majlis pemasyhuran Universiti Al-Quran ini telah disempurnakan sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertempat di Kampus UNIQSAAS.

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan berkaitan.

universiti al-quran

Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar yang juga Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB), menjelaskan bahawa penubuhan Universiti Al-Quran ini merupakan manifestasi visi jauh Sultan Pahang dalam memartabatkan pendidikan berteraskan al-Quran sebagai asas pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

Kerajaan Negeri Pahang turut memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi menyokong pembangunan Universiti Al-Quran ini, selain menyalurkan RM150,000 sebagai peruntukan awal bagi melaksanakan gerak kerja penubuhannya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan kelebihan mereka yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran melalui sabda Baginda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Khairukum man ta’allamal-Qur’ana wa ‘allamah

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Kerjasama Strategik Perkukuh Pembangunan Universiti Al-Quran

Bagi memastikan Universiti Al-Quran ini terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul, Kerajaan Negeri Pahang turut menjalin kerjasama strategik bersama beberapa universiti terkemuka tanah air, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti berkenaan.

Hasil kerjasama ini, UNIQSAAS kini berkembang sebagai sebuah universiti yang bukan sahaja menawarkan pengajian al-Quran secara mendalam, malah turut menyediakan pelbagai program profesional yang memenuhi keperluan semasa masyarakat.

Senarai Program Ditawarkan Di Universiti Al-Quran UNIQSAAS

Universiti Al-Quran ini menawarkan pelbagai peringkat program akademik bagi memenuhi keperluan pelajar dari pelbagai latar belakang, antaranya:

Peringkat Asasi:

  • Asasi Sains Kemanusiaan

Peringkat Diploma:

  • Diploma Pengajian Quran dan Sunnah
  • Diploma Pengajian Islam (Dakwah dan Pengurusan)
  • Diploma Peradaban Islam
  • Diploma Media Islam
  • Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Secara Islamik

Peringkat Ijazah Sarjana Muda:

  • Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah
  • Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dengan Pengurusan Islam
  • Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pengajian Quran
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam
  • Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan

Peringkat Pascasiswazah:

  • Program Sarjana
  • Program Doktor Falsafah (Penyelidikan/Kerja Kursus)
  • Diploma Pascasiswazah Guaman Syarie dan Kehakiman

Kaedah Dan Modul Pembelajaran Di Universiti Al-Quran

Universiti Al-Quran ini menawarkan dua mod pengajian, iaitu sepenuh masa dan separuh masa, bergantung kepada program yang dipilih oleh pelajar.

Dari sudut pendekatan pembelajaran pula, UNIQSAAS menggabungkan pengajian al-Quran dan Sunnah bersama keilmuan kontemporari, disokong dengan kemudahan digital termasuk akses Braille digital khusus untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Selain itu, universiti ini turut menawarkan laluan fleksibel bagi pengiktirafan pengalaman kerja, membolehkan lebih ramai golongan masyarakat, termasuk mereka yang sudah bekerja, untuk turut melanjutkan pengajian di Universiti Al-Quran ini mengikut kesesuaian dan latar belakang masing-masing.

Syarat Kemasukan Ke Universiti Al-Quran UNIQSAAS

Bagi calon yang berminat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Al-Quran ini, berikut adalah syarat kemasukan am mengikut peringkat pengajian:

  • Peringkat Asasi – Lulus SPM dengan minimum 5 kepujian, termasuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
  • Peringkat Diploma – Lulus SPM dengan sekurang-kurangnya 3 kredit, bergantung kepada program yang dipilih, seperti kepujian dalam Bahasa Arab atau subjek tertentu yang berkaitan.
  • Peringkat Ijazah Sarjana Muda – Lulus STPM dengan minimum PNGK 2.00 (2 subjek lulus penuh), lulus STAM dengan pangkat Maqbul, atau lulus Diploma dalam bidang berkaitan dengan minimum PNGK 2.00.

Kewujudan Universiti Al-Quran pertama di Malaysia ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat Negeri Pahang, sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju pendidikan al-Quran bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di persada antarabangsa.

Dengan pelbagai program yang ditawarkan bermula daripada peringkat Asasi sehingga Doktor Falsafah, Universiti Al-Quran ini membuka peluang luas kepada masyarakat untuk mendalami ilmu al-Quran dan Sunnah secara lebih sistematik dan menyeluruh, tanpa mengabaikan keperluan ilmu kontemporari yang releven dengan cabaran semasa.

Semoga kehadiran Universiti Al-Quran ini terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.

Sumber: Pahang Media, Facebook Kerajaan Negeri Pahang, Kemasukan UNIQSAAS, Soalan Lazim UNIQSAAS

BACA JUGA: Jihad Ilmu Lima Dekad Diiktiraf, Rektor UIAM Dr Osman Bakar Dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H

BACA JUGA: Solat Berjemaah Rahsia Kecemerlangan Pelajar OKU Ini Terima Anugerah Khas, Hati Dekat Dengan Allah

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9