Niat solat sering membuatkan seseorang tertanya-tanya sama ada ibadah yang dilakukan sah atau perlu diulang hanya kerana terlupa menyebut perkataan tertentu.

Antara persoalan yang biasa timbul ialah, bagaimana jika ketika hendak solat fardu kita terlupa menyebut perkataan “tunai” atau adaan dalam niat?

Jawapannya, solat tersebut tetap sah. Perkataan “tunai” bukan perkara yang wajib disebut atau diniatkan untuk menentukan sahnya solat.

Niat Solat Tak Sebut ‘Tunai’, Solat Tetap Sah

Dalam Mazhab Syafie, niat solat fardu perlu merangkumi perkara asas yang menentukan ibadah yang sedang dilakukan.

Antaranya ialah qasad, iaitu sengaja melakukan solat; ta’yin, iaitu menentukan solat yang hendak dilakukan seperti Zuhur atau Asar; dan fardiyyah, iaitu mengetahui atau meniatkan bahawa solat tersebut merupakan solat fardu.

Justeru, seseorang yang berniat dalam hatinya untuk menunaikan solat fardu Zuhur, misalnya, tidak perlu risau sekiranya terlupa memasukkan perkataan “tunai”.

Malah, niat solat sebenarnya terletak di dalam hati dan bukannya pada lafaz yang disebut dengan lidah.

Lafaz niat boleh membantu seseorang menghadirkan niat, tetapi ia bukan syarat sah solat.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat berdasarkan apa yang diniatkannya.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Perlu Ke Ada Perkataan ‘Tunai’ Dalam Niat Solat?

Menurut Fiqh al-Manhaji, seseorang perlu menghadirkan niat solat di dalam hati ketika takbiratul ihram dengan mengetahui solat yang sedang dilakukannya serta kefarduannya.

Namun, tidak disyaratkan untuk melafazkan niat tersebut dengan lidah.

Perkara ini turut dijelaskan oleh Syeikh Hasan al-Kaf dalam Taqrirat al-Sadidah.

Beliau menyatakan bahawa tidak diwajibkan niat kerana Allah SWT, menentukan bilangan rakaat, menghadap kiblat serta menyebut adaan atau tunai dan qadaan atau ganti.

Perkara-perkara tersebut disunatkan dan bukannya sesuatu yang menentukan sah atau batal niat solat.

Maksudnya, seseorang tidak perlu mengulang solat semata-mata kerana terlupa menyebut “tunai”.

Apa Yang Wajib Ada Dalam Niat Solat Fardu?

Bagi memudahkan pemahaman, tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam niat solat fardu ialah:

  1. Qasad – sengaja atau bermaksud untuk melakukan solat.
  2. Ta’yin – menentukan solat yang dilakukan, seperti Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak atau Subuh.
  3. Fardiyyah – menentukan bahawa solat tersebut ialah solat fardu.

Contohnya, jika seseorang mengetahui dalam hatinya bahawa dia sedang hendak melakukan solat fardu Zuhur kerana Allah SWT, niat solat tersebut sudah merangkumi perkara asas yang diperlukan.

Tidak perlu seseorang terlalu membebankan diri dengan memastikan setiap perkataan dalam lafaz yang biasa dipelajari disebut dengan sempurna.

Ini kerana yang menjadi ukuran ialah niat solat di dalam hati, bukan panjang atau pendek lafaz yang keluar daripada mulut.

Niat Solat Berjemaah Ada Perkara Tambahan Perlu Dijaga

Namun, terdapat sedikit perbezaan apabila seseorang menjadi makmum.

Syeikh Hasan al-Kaf menjelaskan dalam Taqrirat al-Sadidah bahawa seseorang yang menjadi makmum perlu berniat berjemaah, mengikut imam atau menjadi makmum.

Ini penting kerana seseorang tidak sepatutnya sengaja mengikuti pergerakan imam seperti makmum sedangkan dia tidak mempunyai niat untuk mengikut imam.

Bagi solat Jumaat pula, niat menjadi makmum perlu disertakan sejak takbiratul ihram kerana berjemaah merupakan antara syarat solat Jumaat.

Bagaimanapun, perkara ini tidak mengubah hukum asal mengenai perkataan “tunai”.

Sama ada bersolat sendiri atau dalam keadaan yang memerlukan niat solat berjemaah, terlupa menyebut perkataan “tunai” semata-mata tidak menyebabkan solat menjadi batal.

Kesimpulannya, niat solat fardu tidak menjadi tidak sah hanya kerana seseorang terlupa menyebut “tunai” atau adaan.

Jangan terus mengulang solat hanya disebabkan keraguan terhadap lafaz tersebut.

Apa yang penting ialah niat hadir di dalam hati, mengetahui solat yang hendak dilakukan dan memenuhi perkara yang diwajibkan dalam niat.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

BACA JUGA: Niat Solat Fardhu Cuma Perlu 3 Perkara Sahaja, Wajib Dibaca Serentak Semasa Angkat Takbir – Ustaz Azhar Idrus

BACA JUGA: Niat Tak Perlu Panjang, Ini Teknik Sebenar Serentakkan Niat Dengan Takbiratul Ihram Agar Solat Anda Sah

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9