Pandangan mata ketika duduk tahiyat mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi ramai sebenarnya masih keliru sama ada perlu melihat jari telunjuk atau kekal memandang tempat sujud.
Ketika berdiri dalam solat, kita biasa mendengar anjuran supaya melihat ke arah tempat sujud bagi membantu mendapatkan kekhusyukan.
Namun apabila masuk tahiyat dan jari telunjuk mula digunakan untuk memberi isyarat, ke mana pula mata perlu diarahkan?
Adakah masih ke tempat sujud atau sebenarnya melihat jari telunjuk?
Menurut perbahasan ulama Mazhab Syafi‘i, terdapat panduan khusus mengenai perkara ini.
Pandangan Mata Ketika Tahiyat Disunatkan Ke Arah Jari Telunjuk
Ketika duduk membaca tahiyat, seseorang disunatkan meletakkan kedua-dua tangannya di atas paha dan melakukan isyarat menggunakan jari telunjuk kanan sebagaimana kaifiat yang diterangkan para ulama.
Dalam keadaan ini, pandangan mata disunatkan tertumpu kepada jari telunjuk atau tempat isyarat tersebut.
Ia berdasarkan hadis Abdullah bin al-Zubair RA mengenai keadaan Rasulullah SAW ketika duduk dalam solat:
كَانَ إِذَا قَعَدَ فِي التَّشَهُّدِ وَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ لَا يُجَاوِزُ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ
Maksudnya: “Apabila Baginda duduk ketika tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kirinya di atas paha kiri dan memberi isyarat dengan jari telunjuknya, dan pandangan Baginda tidak melepasi isyaratnya.”
(Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini menjadi antara sandaran ulama mengenai pandangan mata ketika seseorang duduk membaca tahiyat.
Bila Jari Diangkat & Ke Mana Pandangan Mata?
Menurut pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafi‘i, jari telunjuk kanan diangkat ketika sampai pada lafaz:
إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Melainkan Allah.”
Ia terdapat dalam kalimah syahadah:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
Imam al-Nawawi menjelaskan:
يُشِيرُ عِنْدَ قَوْلِهِ إِلَّا اللَّهُ مِنَ الشَّهَادَةِ، وَيُشِيرُ بِمُسَبِّحَةِ الْيُمْنَى لَا غَيْرُ
Maksudnya: “Dia memberi isyarat ketika mengucapkan ‘illallah’ dalam syahadah dan memberi isyarat dengan jari telunjuk kanan, bukan dengan jari yang lain.”
Pada ketika itu, pandangan mata diarahkan kepada jari telunjuk atau isyarat tersebut.
Imam al-Nawawi turut menyatakan:
وَالسُّنَّةُ أَنْ لَا يُجَاوِزَ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ
Maksudnya: “Dan sunnahnya ialah pandangannya tidak melepasi isyaratnya.”
Maka apabila sudah berada dalam posisi tahiyat, pandangan mata tidak lagi perlu difokuskan kepada tempat sujud sebagaimana ketika berdiri, sebaliknya disunatkan memberikan perhatian kepada isyarat jari telunjuk.
Pandangan Mata Dari Awal Tahiyat Atau Selepas Jari Diangkat?
Persoalan seterusnya, adakah perlu menunggu sehingga jari telunjuk diangkat pada lafaz “illallah” barulah mata melihat jari?
Dalam perbahasan Mazhab Syafi‘i, pandangan ketika duduk tahiyat dikaitkan dengan tempat isyarat jari telunjuk.
Justeru, pandangan mata boleh ditumpukan ke kawasan jari telunjuk ketika berada dalam posisi tahiyat, bukan hanya selepas jari itu diangkat.
Apabila sampai pada lafaz “illallah”, jari telunjuk kemudian diangkat mengikut kaifiat yang diterangkan ulama.
Isyarat tersebut bukan dilakukan tanpa makna.
Imam al-Nawawi turut menyebut bahawa seseorang berniat dengan isyarat itu akan tauhid dan keikhlasan kepada Allah SWT.
Justeru, pandangan mata kepada isyarat tersebut juga membantu seseorang memberikan perhatian terhadap pengakuan tauhid yang sedang dilafazkan.
Kalau Jari Telunjuk Tak Boleh Diangkat, Pandangan Mata Macam Mana?
Bagaimana pula jika seseorang mengalami kecederaan atau sakit sehingga jari telunjuk kanannya tidak dapat digunakan?
Menurut penjelasan Imam al-Nawawi, jika jari telunjuk terpotong atau sakit, seseorang tidak perlu menggantikannya dengan jari lain sama ada daripada tangan kanan atau kiri.
Ini juga menunjukkan bahawa mengangkat jari telunjuk bukan rukun yang menentukan sah atau batalnya solat.
Begitu juga soal pandangan mata. Melihat jari telunjuk ketika tahiyat merupakan sunnah dan bukannya rukun solat.
Jika selama ini seseorang memandang tempat sujud ketika membaca tahiyat, jangan terus menganggap solat yang dilakukan tidak sah.
Solatnya tidak terbatal hanya kerana tersalah arah pandangan mata.
Jadi, Pandangan Mata Tengok Jari Atau Tempat Sujud?
Jawapannya mudah, ketika duduk membaca tahiyat, pandangan mata disunatkan tertumpu kepada jari telunjuk atau tempat isyarat tersebut.
Apabila sampai pada lafaz “illallah”, jari telunjuk kanan diangkat sebagaimana kaifiat Mazhab Syafi‘i dan pandangan terus diberikan kepada isyarat tersebut.
Ini selari dengan hadis yang menyebut bahawa pandangan Rasulullah SAW tidak melepasi isyarat jarinya ketika duduk tasyahhud.
Namun perkara ini perlu difahami sebagai sunnah.
Jika seseorang selama ini melihat tempat sujud ketika tahiyat kerana tidak mengetahui perkara tersebut, solatnya tidak perlu diulang hanya disebabkan arah pandangan mata.
Perkara kecil seperti ini bukan untuk membuatkan kita semakin waswas ketika solat.
Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk memperbaiki sedikit demi sedikit cara kita menunaikan ibadah agar lebih tertib dan mengikuti panduan yang diajarkan Rasulullah SAW.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
BACA JUGA: Bila Perlu Angkat Jari Telunjuk Ketika Duduk Tahiyat? Ini Waktu Paling Tepat Menurut Mazhab Syafi’ie
BACA JUGA: Tak Lipat Jari Kaki Ketika Duduk Tahiyat Akhir, Sah Ke Solat? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.