Pernahkah terlintas di fikiran kita mengapa sistem pembahagian pusaka Islam menetapkan bahagian lelaki dua kali ganda berbanding perempuan dalam keadaan tertentu?
Adakah ketetapan ini menggambarkan ketidakadilan atau sebenarnya mengandungi hikmah yang mendalam?
Persoalan tersebut sering menimbulkan kekeliruan apabila hukum faraid tidak difahami secara menyeluruh.
Ketetapan ini bukanlah suatu bentuk diskriminasi terhadap wanita, sebaliknya berasaskan prinsip keadilan serta perbezaan tanggungjawab kewangan yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada setiap waris.
Prinsip Utama Pembahagian Pusaka Menurut Al-Quran
Segala ketetapan mengenai hukum harta peninggalan telah disusun rapi oleh Allah SWT dalam al-Quran.
Pada dasarnya, Islam mengiktiraf hak harta bagi setiap individu tanpa mengira jantina. Allah SWT berfirman:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” (Surah al-Nisa’: 7)
Melalui ayat di atas, Islam menegaskan bahawa lelaki mahupun perempuan masing-masing mempunyai hak yang dijamin.
Namun, perincian bagi nisbah hak harta anak-anak ditegaskan secara khusus dalam ayat berikutnya:
يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ
Maksudnya: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah al-Nisa’: 11)
Ayat inilah yang menjadi tiang utama kepada hukum pembahagian pusaka di mana kadar nisbah 2:1 dilaksanakan antara anak lelaki dan anak perempuan.
Beban Kewajipan Nafkah Mengubah Kadar Pembahagian Pusaka
Ulama tafsir terkenal, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan bahagian wanita sebagai asas ukuran dalam menentukan bahagian lelaki.
Perbezaan nisbah ini berkait rapat dengan tanggungjawab kewangan yang dipikul oleh lelaki, termasuk menyediakan nafkah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga di bawah tanggungannya.
Wanita pula pada asasnya tidak diwajibkan menanggung nafkah suami dan keluarganya, manakala harta pusaka yang diterima menjadi hak miliknya.
Pandangan ini turut diperkuatkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir.
Beliau menjelaskan bahawa perbezaan kadar dalam pembahagian pusaka mengambil kira kewajipan lelaki untuk menyediakan tempat tinggal, menyara keluarga serta membayar mahar ketika berkahwin.
Oleh itu, bahagian yang lebih besar bukanlah suatu keistimewaan tanpa sebab, tetapi disertai amanah dan tanggungjawab kewangan yang lebih luas.
Rasulullah SAW juga telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam al-Nawawi, sebab utama lelaki dijadikan sebagai ‘asabah (penerima baki harta) dan diberi keutamaan dalam sistem pembahagian pusaka adalah kerana mereka menanggung beban kesulitan yang besar dari sudut kewangan dan pemeliharaan kekeluargaan.
Hikmah Keadilan Syariat Dalam Pembahagian Pusaka

Badan fatwa seperti Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menjelaskan bahawa antara prinsip utama dalam pembahagian pusaka ialah tanggungjawab kewangan yang diwajibkan oleh syarak ke atas setiap waris.
Harta pusaka tidak dibahagikan berdasarkan kadar kasih sayang atau kesusahan seseorang semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira beban dan kewajipan kewangan yang perlu dipikulnya.
Sebagai contoh, jika seorang anak lelaki menerima RM10,000 dan anak perempuan menerima RM5,000:
- Anak lelaki perlu menggunakan wang RM10,000 tersebut untuk menafkahi isteri, anak-anak, ibu yang telah tua, serta menyelenggarakan keperluan keluarga.
- Anak perempuan boleh menyimpan keseluruhan RM5,000 tersebut sebagai simpanan peribadi kerana makan, minum, pakaian dan tempat tinggalnya kekal di bawah tanggungjawab suami atau wali lelakinya.
Di samping itu, nisbah 2:1 ini bukanlah satu hukum yang mutlak untuk semua situasi.
Ini kerana, terdapat banyak keadaan dalam ilmu faraid di mana bahagian wanita menyamai bahagian lelaki, dan ada juga keadaan tertentu di mana bahagian wanita melebihi bahagian lelaki.
Oleh itu, persepsi bahawa sistem pembahagian pusaka menindas wanita adalah tanggapan yang tersasar daripada kefahaman Islam yang sebenar.
Keadilan Allah SWT Dalam Sistem Pembahagian Pusaka Faraid
Secara keseluruhannya, bahagian lebih besar yang diterima oleh anak lelaki dalam pembahagian pusaka merupakan suatu bentuk keseimbangan dan keadilan, bukannya keistimewaan tanpa tanggungjawab.
Semakin besar harta yang diterima, semakin besar amanah yang perlu dipikul serta dipersoalkan di akhirat, termasuk cara harta tersebut digunakan untuk memberikan nafkah kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Allah SWT mengingatkan kita bahawa setiap hukum yang ditetapkan-Nya mengandungi hikmah yang maha luas, sebagaimana firman-Nya:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)
Oleh yang demikian, melalui pemahaman syariat yang tepat, kita dapat menghayati keindahan sistem pembahagian pusaka Islam yang memelihara hak dan kebajikan setiap waris secara adil.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefahaman yang benar dalam melaksanakan segala ketetapan-Nya serta menetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.