Perbezaan cara menunaikan solat kadangkala menimbulkan rasa was-was, terutama apabila melihat jemaah ada yang tidak mengangkat takbir ketika hendak rukuk atau bangun untuk iktidal.
Malah, ada yang menegur bahawa perbuatan tersebut seolah-olah solat yang didirikan tidak sah.
Situasi ini sering mencetuskan keraguan dalam kalangan umat Islam, sedangkan perbezaan dalam perkara cabang ibadah perlu difahami dengan ilmu, sikap berlapang dada dan berpandukan penjelasan para ulama.
Kedudukan Mengangkat Takbir Dalam Rukun Solat
Setiap Muslim wajib mendirikan solat mengikut tatacara yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW.
Perkara ini ditegaskan dalam sebuah hadis sahih:
صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.” (Riwayat al-Bukhari)
Para ulama merumuskan bahawa solat mempunyai 13 rukun yang terbahagi kepada empat bahagian iaitu rukun fi’li, qauli, qalbi dan maknawi.
Perbuatan mengangkat takbir semasa hendak berpindah ke posisi rukuk atau iktidal tidak termasuk dalam senarai 13 rukun wajib tersebut.
Ini bermakna, sama ada seseorang itu memilih untuk mengangkat takbir pada tempat tersebut atau meninggalkannya, ia langsung tidak menjejaskan keesahan solat yang didirikan.
Hukum Mengangkat Takbir Menurut Mazhab Syafie
Dalam tradisi fiqh Mazhab Syafie, hukum mengangkat takbir ketika hendak rukuk dan iktidal adalah sunat ab’ad atau sunat hai’ah yang sangat digalakkan bagi menyempurnakan pahala solat.
Perkara ini dijelaskan secara terperinci dalam matan Safinah al-Naja:
فَصْلٌ: يُسَنُّ رفع اليدين في أربعة مواضع عند تكبيرة الإحرام و عند الركوع و عند الإعتدال و عند القيام من التشهّد الأوّل
Maksudnya: “Fasal: Disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat iaitu ketika takbiratul ihram, ketika hendak rukuk, ketika i’tidal dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.”
Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitab Kasyifah al-Saja menerangkan kaedah melakukkannya secara tertib.
Ketika hendak rukuk, seseorang disunatkan mengangkat takbir sambil menyebut lafaz takbir sebelum membongkokkan badan, dan tidak mengekalkan tangan di atas sepanjang berada dalam keadaan rukuk.
Bagi iktidal pula, tangan diangkat sewaktu mula mengangkat kepala dan dilepaskan ke bawah dada dengan tenang sebaik sahaja berdiri tegak.
Kaedah Menghadapi Perbezaan Pandangan Dalam Solat

Memandangkan amalan mengangkat takbir, iaitu mengangkat tangan ketika takbir perpindahan rukun, merupakan perkara sunat dan bukannya rukun solat, masyarakat tidak seharusnya menyalahkan atau menegur orang lain secara berlebihan.
Dalam disiplin fiqah, terdapat satu kaedah penting yang mengajar umat Islam agar tidak mudah menghukum dalam perkara khilafiah:
لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه
Maksudnya: “Tidak ditegah pada perkara yang berlaku khilaf padanya, adapun ditegah pada perkara yang disepakati atasnya (ijma’).”
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah turut memperincikan kaedah ini dalam kitab Majmu’ al-Fatawi:
إنَّ مِثل هذه المسائل الاجتهادية لا تُنكَر باليد، وليس لأحدٍ أن يُلزِم الناسَ باتِّباعه فيها، ولكن يُتكلَّمُ فيها بالحُجج العلميَّة؛ فمَن تبيَّن له صحَّةُ أحد القولين تبعه، ومن قلَّد أهلَ القول الآخر فلا إنكار عليه
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara masalah ijtihadiah seperti ini tidak patut ditegah dengan tangan (kuasa). Sesiapapun tidak patut memaksa orang lain untuk mengikutnya pada perkara seperti itu. Namun begitu, boleh dibahaskan dengan hujahan ilmiah. Barangsiapa yang jelas baginya kesahihan sesuatu pendapat, maka hendaklah dia mengikutinya. Dan barangsiapa yang bertaqlid kepada pendapat yang lain, maka tidak boleh ditegah terhadapnya.”
Kebaikan Mengamalkan Sunat Mengangkat Takbir
Meskipun solat tetap sah tanpa mengangkat takbir pada kedudukan tersebut, umat Islam digalakkan mengamalkannya bagi menyempurnakan sunnah Rasulullah SAW.
Perbuatan mengangkat kedua-dua tangan ketika hendak rukuk dan bangun untuk iktidal turut membantu seseorang menunaikan solat dengan lebih tertib dan khusyuk.
Kesimpulannya, amalan mengangkat takbir merupakan sunat yang dituntut, bukannya rukun yang menentukan kesahan solat.
Sekiranya seseorang terlupa atau tidak melakukannya, solatnya tetap sah dan tidak perlu diulang.
Oleh itu, perbezaan dalam perkara cabang ibadah hendaklah ditangani dengan ilmu dan sikap berlapang dada.
Janganlah seseorang ditegur seolah-olah solatnya terbatal hanya kerana meninggalkan amalan sunat.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.