Pamer resit zakat kepada orang ramai mungkin dianggap sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk, tetapi adakah seseorang yang berkongsi bukti pembayaran zakat secara terbuka semestinya dikira riak dalam Islam?
Persoalan ini timbul susulan tindakan pelawak terkenal, Jep Sepahtu yang berkongsi resit pembayaran zakat perniagaannya di media sosial, dengan jumlah mencecah RM300,000 setahun.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian apabila Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 41, memuat naik rekod pembayaran zakat dari tahun 2016 hingga 2025 menerusi Threads.
Menurut laporan media, jumlah pembayaran yang dipaparkan adalah antara RM25,000 hingga RM300,000 setahun.

Jep menjelaskan bahawa tindakannya bukan bertujuan membanggakan diri, sebaliknya untuk membuktikan bahawa dia telah melaksanakan tanggungjawab terhadap rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Resit ini untuk dibuktikan, bukan dibanggakan,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Namun, dari sudut agama, adakah tindakan pamer resit zakat dibolehkan atau boleh mengundang sifat riak?
Pendakwah PU Salman tampil memberikan penjelasan mengenai hukum menzahirkan pembayaran zakat kepada masyarakat.
Pamer Resit Zakat Tidak Semestinya Dikira Riak
Menurut PU Salman, tindakan pamer resit zakat tidak boleh terus dianggap sebagai riak kerana menzahirkan ibadah wajib mempunyai asas dalam perbahasan ulama.
Beliau menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi berpandangan, menzahirkan pembayaran zakat adalah lebih afdal berbanding menyembunyikannya.
Hal ini kerana zakat merupakan ibadah wajib yang perlu ditunaikan oleh umat Islam apabila memenuhi syarat ditetapkan.
Berbeza dengan sedekah sunat, pembayaran zakat secara terbuka boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun, keharusan tersebut bukan bermaksud seseorang bebas berbangga atau menunjuk-nunjukkan amalannya.
Keikhlasan tetap menjadi perkara utama dalam setiap ibadah yang dilakukan.
Pamer Resit Zakat Boleh Menggalakkan Orang Lain Membayar Zakat
PU Salman menjelaskan bahawa antara hikmah pamer resit zakat adalah untuk menggalakkan orang lain menunaikan kewajipan yang sama.
Apabila seseorang menunjukkan bahawa dia telah membayar zakat, tindakan tersebut boleh menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya mereka yang mempunyai kemampuan kewangan.
Perkara ini selari dengan firman Allah SWT:
إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 271)
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam membenarkan pemberian sedekah secara terbuka mahupun tersembunyi.
Namun, para ulama membezakan antara zakat wajib dengan sedekah sunat dari sudut keutamaan menzahirkannya.
Pamer Resit Zakat Untuk Mengelakkan Sangkaan Buruk
Selain menggalakkan orang lain, PU Salman menjelaskan bahawa tindakan pamer resit zakat juga boleh bertujuan mengelakkan sangkaan buruk masyarakat.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kekayaan, kenderaan mewah atau perniagaan besar mungkin menjadi perhatian orang ramai.
Apabila bukti pembayaran zakat ditunjukkan, ia boleh menjelaskan bahawa individu tersebut telah melaksanakan tanggungjawab zakatnya.
Dalam konteks Jep Sepahtu, beliau sendiri menyatakan bahawa perkongsian resit berkenaan bertujuan membuktikan pembayaran yang telah dilakukan, bukannya untuk bermegah.
PU Salman turut mengaitkan perkara ini dengan amalan solat fardu yang dianjurkan untuk dilaksanakan secara berjemaah di masjid.
Menurut beliau, ibadah wajib sememangnya boleh dizahirkan kepada masyarakat dan tidak semestinya perlu disembunyikan.
Namun, tindakan seseorang tetap perlu dinilai berdasarkan tujuan dan niatnya, bukan semata-mata apa yang dilihat oleh orang lain.
Imam Al-Nawawi: Zakat Wajib Lebih Afdal Dizahirkan
Penjelasan PU Salman mengenai pamer resit zakat turut mempunyai sandaran dalam huraian Imam al-Nawawi.
Dalam kitab Syarh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi menjelaskan:
وَأَمَّا الزَّكَاةُ الْوَاجِبَةُ فَإِعْلَانُهَا أَفْضَلُ وَهَكَذَا حُكْمُ الصَّلَاةِ فَإِعْلَانُ فَرَائِضِهَا أَفْضَلُ وَإِسْرَارُ نَوَافِلِهَا
Maksudnya: “Adapun zakat yang wajib, maka menzahirkannya adalah lebih afdal. Demikian juga hukum solat, menzahirkan solat fardu adalah lebih afdal, manakala menyembunyikan solat sunat adalah lebih afdal.”
Penjelasan ini turut dirujuk oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-788 mengenai hukum bersedekah secara terang-terangan atau sembunyi.
Menurut jabatan tersebut, pembayaran zakat wajar diuar-uarkan kepada umum kerana ia boleh menggalakkan masyarakat melakukan kebaikan.
Sebaliknya, sedekah sunat kepada golongan fakir miskin lebih afdal dilakukan secara tersembunyi bagi menjaga maruah penerima dan memelihara keikhlasan pemberi.
Boleh Ke Kita Hukum Orang Yang Pamer Resit Zakat Sebagai Riak?
Mengulas tindakan Jep Sepahtu, PU Salman menegaskan bahawa masyarakat tidak sepatutnya terus menghukum seseorang sebagai riak hanya kerana dia menunjukkan bukti pembayaran zakat.
Ini kerana niat sebenar seseorang berada dalam pengetahuan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan sesungguhnya setiap orang memperoleh berdasarkan apa yang diniatkannya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengingatkan bahawa penilaian sesuatu amalan berkait rapat dengan niat pelakunya.
Oleh itu, tindakan pamer resit zakat tidak boleh terus disamakan dengan riak tanpa mengetahui tujuan sebenar individu tersebut.
PU Salman turut memuji tindakan Jep yang menunjukkan bukti pembayaran zakat bagi menjawab tohmahan terhadap dirinya.
Kesimpulannya, pamer resit zakat bukanlah perbuatan yang dilarang dalam Islam selagi dilakukan dengan niat yang baik dan bukan untuk mendapatkan pujian manusia.
Menzahirkan pembayaran zakat boleh menjadi contoh kepada masyarakat serta membantu mengelakkan salah sangka.
Namun, setiap Muslim tetap perlu menjaga keikhlasan agar ibadah yang dilakukan benar-benar bertujuan mencari keredaan Allah SWT.
Sumber: PU Salman, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA: Bayar Zakat Setiap Bulan Melalui Potongan Gaji, Sah Ke Walaupun Belum Cukup Haul? Ini Hukum Sebenar
BACA JUGA: PPZ-MAIWP Lancar MyZakat 4.0, Kini Boleh Semak Rekod Bayaran, Agihan Zakat & Berwakaf
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.