Solat jamak dan qasar merupakan kemudahan (rukhsah) yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam ketika bermusafir.

Kemudahan ini membantu kita menunaikan kewajipan solat sepanjang perjalanan, termasuk ketika bercuti bersama keluarga.

Namun, tempoh berada di destinasi sering menimbulkan persoalan terutamanya jika percutian berlangsung selama 5 hari 4 malam.

Persoalan mengenai adakah seseorang masih boleh mengambil rukhsah musafir, atau perlu menunaikan solat seperti biasa sebaik sahaja tiba?

Dalam Mazhab Syafie, penilaiannya bukan sekadar berdasarkan jumlah hari dalam pakej percutian.

Bahkan, niat tempoh menetap serta pengiraan hari tiba dan hari bertolak turut menentukan kedudukan seseorang sebagai musafir.

Syarat Asas Solat Jamak Dan Qasar Ketika Musafir

Sebelum menghitung tempoh menetap, seseorang perlu memastikan perjalanannya memenuhi syarat yang membolehkan solat jamak dan qasar.

Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah:

  1. Mencapai Jarak Musafir: Perjalanan menuju destinasi hendaklah mencapai dua marhalah. Anggaran kilometernya perlu berpandukan ukuran yang digunakan oleh pihak berautoriti agama setempat.
  2. Perjalanan Yang Diharuskan: Tujuan perjalanan mestilah dibenarkan syarak, seperti bercuti, bekerja atau menuntut ilmu, bukannya untuk melakukan maksiat.
  3. Keluar Dari Kawasan Tempat Tinggal: Rukhsah musafir hanya bermula setelah seseorang melepasi sempadan kawasan tempat tinggalnya.
  4. Niat Tempoh Menetap: Dalam Mazhab Syafie, seseorang yang berniat menetap selama empat hari penuh atau lebih, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, tidak lagi mengambil rukhsah musafir sepanjang berada di destinasi tersebut.

Selain syarat ini, pelaksanaan jamak dan qasar mempunyai ketetapan tersendiri yang perlu dipenuhi agar solat ditunaikan dengan sah.

Kelonggaran solat jamak dan qasar ini merupakan hadiah kurniaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah menjadi dosa bagi kamu untuk memendekkan (qasar) solat…” (Surah An-Nisa’: 101)

Pengiraan Hari Menetap Bagi Solat Jamak Dan Qasar Dalam Mazhab Syafie

Menurut Ustazah Asma’ Harun, isu utama dalam percutian 5 hari 4 malam bergantung kepada niat tempoh menetap.

Dalam Mazhab Syafie, sekiranya seseorang itu sejak awal lagi berniat untuk menetap di destinasi selama empat hari penuh berserta malam-malamnya, maka terputuslah status musafirnya sebaik sahaja dia sampai di lokasi tersebut.

Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

وَلَوْ نَوَى إِقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat menetap selama empat hari di sesuatu tempat, maka terputuslah hukum musafirnya apabila dia sampai di tempat tersebut.”

Walau bagaimanapun, dalam kaedah pengiraan fiqh, hari ketibaan (hari masuk) dan hari kepulangan (hari keluar) tidak dikira sebagai hari penuh.

Ini bermakna, jika hari menetap di antara hari sampai dan hari pulang tidak melebihi 3 hari siang penuh, maka jemaah masih dibenarkan menunaikan solat jamak dan qasar sepanjang berada di sana.

Imam al-Khatib al-Syirbini menambah:

وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya: “Dan tidak dikira dalam tempoh tersebut hari dia masuk dan hari dia keluar, menurut pendapat yang sahih.”

Mengapa Waktu Pulang Boleh Mengubah Hukum Solat Jamak Dan Qasar?

Satu fakta menarik yang ditegaskan oleh Ustazah Asma’ Harun ialah waktu jam ketibaan dan kepulangan boleh mengubah status solat jamak dan qasar walaupun bercuti pada hari yang sama.

Sebagai contoh perbandingan dua keluarga yang pergi bercuti dari hari Ahad hingga Khamis:

  • Keluarga Pertama (Sampai Ahad 4 petang, Pulang Khamis 11 pagi): Hari penuh yang dikira hanyalah Isnin, Selasa, dan Rabu (3 hari siang penuh). Hari Ahad (hari masuk) dan Khamis (hari keluar) tidak dikira. Oleh itu, mereka boleh mendirikan solat jamak dan qasar sepanjang di destinasi.
  • Keluarga Kedua (Sampai Ahad 4 petang, Pulang Khamis 9 malam): Kerana bertolak pulang selepas Maghrib pada hari Khamis, siang hari Khamis telah pun berlalu sepenuhnya. Ini menjadikan tempoh menetap mereka genap 4 hari siang penuh (Isnin, Selasa, Rabu, dan Khamis). Maka, mereka tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar sebaik tiba di destinasi.

Perbezaan beberapa jam sahaja boleh menyebabkan hukum solat jamak dan qasar berubah secara mutlak.

Keadaan Ketibaan Selepas Maghrib Dan Hukum Solat Jamak Dan Qasar

solat jamak dan qasar

Perhatian khusus juga perlu diberikan sekiranya anda tiba di tempat percutian selepas masuk waktu Maghrib.

Dalam kalendar Islam, pertukaran hari bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib.

Sekiranya anda tiba di destinasi pada hari Ahad jam 9 malam, ia sudah dikira sebagai malam Isnin.

Jika anda merancang untuk pulang pada hari Jumaat jam 10 pagi, maka hari Isnin, Selasa, Rabu, dan Khamis dikira sebagai 4 hari siang penuh.

Niat menetap sebegini membatalkan rukhsah solat jamak dan qasar sebaik anda mendaftar masuk ke tempat penginapan.

Perkara ini dijelaskan dalam Hasyiah al-Syirwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj:

وَتُحْسَبُ اللَّيْلَةُ الَّتِي تَلِي يَوْمَ الدُّخُولِ وَكَذَا الْيَوْمُ الَّذِي يَلِي لَيْلَةَ الدُّخُولِ

Maksudnya: “Dan dikira malam yang menyusuli hari masuk, begitu juga hari yang menyusuli malam masuk.”

Kedudukan Solat Jamak Dan Qasar Ketika Dalam Perjalanan

Ustazah Asma’ Harun turut mengingatkan agar musafir tidak keliru antara hukum di destinasi dengan hukum ketika dalam perjalanan (ath-thariq).

Walaupun anda tidak layak melakukan solat jamak dan qasar di lokasi percutian kerana berniat menetap 4 hari penuh, anda tetap dibenarkan mendirikan solat jamak dan qasar sewaktu berada dalam kenderaan sepanjang perjalanan pergi dan pulang (selepas melepasi sempadan kawasan perumahan).

Justeru, kelayakan menunaikan solat jamak dan qasar sepanjang percutian 5 hari 4 malam tidak boleh ditentukan berdasarkan jumlah hari semata-mata.

Teliti waktu ketibaan, waktu bertolak pulang serta niat tempoh menetap agar penggunaan rukhsah musafir menepati ketetapan syarak.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

BACA JUGA: Dah Solat Jamak Taqdim & Qasar Dalam Perjalanan, Tapi Sampai Rumah Waktu Asar Belum Habis, Kena Solat Semula Ke?

BACA JUGA: Solat Jamak Ketika Musafir, Boleh Ke Dilakukan Secara Berjemaah? Ini Cara Agar Tak Terlepas Kelebihan Solat Berjemaah

BACA JUGA: Sengaja Pusing Jalan Lebih Jauh Supaya Cukup 81KM, Boleh Ke Jamak Qasar? Ini Hukum & Syarat Rukhsah Ketika Musafir

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.