Nama Nabi Ibrahim AS dan keluarga Baginda disebut dalam selawat dan salam yang lazim dibaca ketika tahiyyat akhir.
Bacaan yang kita ulang setiap hari ini mengundang persoalan di kalangan segelintir pihak, mengapakah Nabi Ibrahim AS disebut secara khusus berbanding rasul-rasul yang lain?
Persoalan ini turut berkait dengan firman Allah SWT yang menyatakan bahawa orang beriman tidak membeza-bezakan antara para rasul.
Justeru, adakah penyebutan khusus tersebut bertentangan dengan tuntutan berkenaan?
Penjelasan ulama membantu kita memahami maksud beriman kepada seluruh rasul serta kedudukan dan kemuliaan baginda dalam selawat tersebut sekali gus memahami hikmahnya.
Maksud Tidak Membeza-bezakan Para Rasul Dan Kemuliaan Nabi Ibrahim AS
Mengulas kekeliruan masyarakat mengenai firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 285 yang melarang membeza-bezakan para rasul, para mufassirin menjelaskan bahawa tegahan tersebut merujuk kepada sudut keimanan.
Umat Islam wajib beriman kepada kesemua para rasul tanpa menolak mana-mana daripada mereka seperti yang dilakukan oleh golongan Yahudi dan Nasrani.
Walau bagaimanapun, dari sudut kedudukan dan kemuliaan, Allah SWT sememangnya melebihkan sebahagian rasul ke atas sebahagian yang lain, dan Nabi Ibrahim AS diberi martabat yang amat tinggi.
Imam Al-Tabari Rahimahullah menegaskan bahawa membenarkan kesemua rasul adalah kewajipan akidah, manakala pengkhususan Nabi Ibrahim AS dalam selawat dan salam dalam tahiyyat akhir adalah tanda kemuliaan darjat yang dikurniakan Ilahi.
Allah SWT berfirman mengenai kelebihan para rasul:
تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ
Maksudnya: “Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain.” (Surah Al-Baqarah: 253)
Pengikhtirafan ini menjelaskan mengapa kedudukan Nabi Ibrahim AS begitu istimewa di sisi syarak.
Kedudukan Nabi Ibrahim AS Sebagai Khalilullah Dan Bapa Para Nabi
Antara sebab utama nama baginda dipetik secara khusus dalam selawat ibrahimiyyah adalah kerana Baginda merupakan kekasih Allah SWT (Khalilullah).
Gelaran ini hanya dikurniakan kepada dua orang rasul sahaja, iaitu Baginda AS dan Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT merakamkan pengiktirafan ini dalam Al-Quran:
وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah telah menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih-Nya.” (Surah An-Nisa’: 125)
Selain itu, Nabi Ibrahim AS dikenali sebagai ‘Bapa Para Nabi’ (Abul Anbiya’) kerana daripada keturunan Baginda lahir ramai nabi dan rasul, antaranya Nabi Ismail AS, Nabi Ishaq AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, serta junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Doa Makbul Dan Salam Nabi Ibrahim AS Pada Malam Mikraj

Antara hikmah penyebutan khusus nama Baginda dalam selawat ialah kaitannya dengan doa Baginda agar dikurniakan sebutan yang baik dalam kalangan generasi kemudian.
Doa tersebut dirakamkan dalam Surah al-Syu‘ara’, ayat 84.
Nama Baginda yang terus disebut dengan penuh penghormatan oleh umat Islam mencerminkan kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT.
Selain itu, dalam kitab al-Durr al-Mukhtar, dinukilkan bahawa ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Ibrahim AS menitipkan salam buat umat Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa ini diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:
يَا مُحَمَّدُ أَقْرِئْ أُمَّتَكَ مِنِّي السَّلَامَ
Maksudnya: “Wahai Muhammad, sampaikanlah salam daripada aku (Nabi Ibrahim AS) kepada umatmu.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Sebagai balasan dan adab membalas salam tersebut, seluruh umat Islam melafazkan selawat dan salam kembali kepada Nabi Ibrahim AS dalam setiap solat yang didirikan.
Penghormatan Buat Nabi Ibrahim AS Yang Menamakan Kita Sebagai Muslimin
Kemuliaan Nabi Ibrahim AS turut dikaitkan dengan penamaan Muslimin, yang bermaksud orang-orang yang berserah diri kepada Allah SWT.
Dalam Surah al-Hajj, ayat 78, umat Islam diperintahkan mengikuti agama Nabi Ibrahim AS, di samping disebut penamaan mereka sebagai Muslimin.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj, ayat 78 merakamkan keistimewaan ini:
هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ
Maksudnya: “Dia (Nabi Ibrahim AS) telah menamakan kamu semua sebagai orang-orang Islam (Muslimin) semenjak dahulu lagi.”
Pertalian erat antara agama Nabi Ibrahim AS dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW membantu kita menghayati penyebutan kedua-dua rasul mulia ini dalam selawat Ibrahimiyyah.
Pengulangan Nama Nabi Ibrahim AS Dalam Selawat Dan Salam Pada Tahiyyat Akhir
Penyebutan nama Nabi Ibrahim AS dan keluarga Baginda dalam tahiyyat akhir merupakan sebahagian daripada selawat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Penghormatan ini tidak bertentangan dengan tuntutan beriman kepada seluruh rasul tanpa menolak kerasulan mana-mana daripada mereka.
Semoga pemahaman ini menambah penghayatan dan kekhusyukan kita ketika membaca selawat Ibrahimiyyah dalam solat seharian.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.