Amalan menjaga hati perlu diberikan perhatian sebagaimana kita bersungguh-sungguh menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan cantik di mata manusia.
Hakikatnya, kecantikan wajah akan dimamah usia, namun kebersihan hati menjadi bekalan berharga dalam perjalanan menuju akhirat.
Pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki mengingatkan bahawa menjaga hati bukan sekadar memastikan kita tidak menyakiti orang lain, tetapi juga memastikan hati tidak semakin jauh daripada Allah SWT.
Malah, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim, 2564)
Berikut merupakan lima amalan menjaga hati yang dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
1. Amalan Menjaga Hati Dengan Memperbanyakkan Zikir
Jangan sesekali membiarkan hati kosong daripada mengingati Allah SWT.
Basahkanlah lidah dengan istighfar, tasbih, tahmid dan selawat kepada Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)
Zikir merupakan antara amalan menjaga hati yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Dengan mengingati Allah SWT, seseorang dapat mendidik hatinya agar lebih tenang, sabar dan tidak mudah berputus asa ketika berdepan ujian.
2. Mendekatkan Diri Kepada Al-Quran
Jadikanlah bacaan al-Quran sebagai rutin harian walaupun hanya beberapa ayat setiap hari.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)
Sebagai amalan menjaga hati, membaca al-Quran hendaklah disertai usaha memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungannya.
Al-Quran membimbing manusia mengenali kebaikan serta menjauhi sifat tercela yang boleh merosakkan hati.
3. Sentiasa Bertaubat Dan Beristighfar
Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, jangan biarkan dosa terus bertapak dalam hati tanpa usaha memohon keampunan.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ ﴿كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seorang hamba melakukan suatu dosa, dititikkan satu titik hitam pada hatinya. Apabila dia meninggalkan dosa tersebut, beristighfar dan bertaubat, hatinya dibersihkan. Jika dia kembali melakukan dosa, titik hitam itu bertambah sehingga menutupi hatinya. Itulah karat yang disebut oleh Allah: ‘Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.’” (Riwayat al-Tirmizi, 3334)
Taubat merupakan amalan menjaga hati yang menuntut seseorang mengakui kesalahan, menyesalinya dan berazam untuk tidak mengulanginya.
4. Menjauhi Hasad Dengki Dan Iri Hati
Amalan menjaga hati juga antaranya adalah, tidak terlalu sibuk melihat kelebihan orang lain sehingga terlupa menghargai nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada diri sendiri.
Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah kamu saling dengki, saling membenci dan saling membelakangi. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Muslim, 2559)
Antara amalan menjaga hati yang boleh dilakukan adalah dengan membiasakan diri bersyukur dan mendoakan kebaikan buat orang lain.
Didiklah hati untuk turut bergembira melihat kejayaan orang lain tanpa mempertikaikan rezeki yang telah ditetapkan Allah SWT.
5. Memilih Sahabat Dan Persekitaran Yang Baik
Sahabat dan persekitaran mempunyai pengaruh besar terhadap keperibadian serta keadaan hati seseorang.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama sahabat karibnya. Maka hendaklah seseorang daripada kamu memperhatikan siapa yang dijadikan sahabat karibnya.”
(Riwayat Abu Daud, 4833 dan al-Tirmizi, 2378)
Dekatilah mereka yang mengingatkan kita kepada Allah SWT, menegur ketika melakukan kesilapan dan mengajak kita melakukan kebaikan.
Kesimpulannya, kelima-lima amalan menjaga hati ini hendaklah dilaksanakan secara istiqamah.
Jangan hanya mengejar kecantikan yang dipandang manusia, tetapi usahakanlah kebersihan hati yang bernilai di sisi Allah SWT.

Sumber: Ustaz Ahmad Dusuki
BACA JUGA: Bukan Harta Atau Pangkat, Dr Kamilin Jamilin Kongsi 3 Amalan Yang Menjadi Perisai Di Alam Kubur
BACA JUGA: Umrah Bukan Sekadar Menjejak Kaki Di Tanah Suci, Ini 5 Janji Allah Buat Mereka Yang Menunaikannya
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.