Pelindung di alam kubur bukanlah harta, pangkat atau kemewahan yang kita kumpulkan sepanjang kehidupan, sebaliknya amal soleh yang dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT.

Apabila tiba saat kematian, segala yang dimiliki di dunia akan ditinggalkan.

Tiada lagi peluang untuk menambah pahala dengan amalan sendiri sebagaimana ketika masih hidup.

Persoalannya, sudah cukupkah bekalan yang kita kumpulkan untuk menghadapi kehidupan di alam barzakh?

Menerusi perkongsian Dr Kamilin Jamilin tampil mengajak umat Islam bermuhasabah menerusi sebuah hadis riwayat al-Tabarani mengenai tiga amalan yang menjadi benteng daripada azab kubur.

1. Membaca Al-Quran Menjadi Pelindung Di Alam Kubur Dari Arah Kepala

Menurut hadis yang dikongsikan Dr Kamilin, apabila azab datang dari arah kepala seseorang di dalam kubur, amalan membaca al-Quran ketika hidup akan menjadi benteng yang menepis azab tersebut.

Inilah antara keistimewaan mendampingi al-Quran yang boleh menjadi pelindung di alam kubur dengan izin Allah SWT.

Selain itu, Rasulullah SAW turut menjelaskan kelebihan membaca al-Quran menerusi sabda Baginda:

اقْرَؤُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.” (Riwayat Muslim, 804)

Justeru, janganlah kita hanya membaca al-Quran ketika Ramadan atau apabila ditimpa kesusahan.

Biasakan diri membaca al-Quran setiap hari walaupun sekadar beberapa ayat, di samping memahami dan mengamalkan ajarannya.

Semoga amalan tersebut menjadi pelindung di alam kubur kelak.

2. Amalan Bersedekah Menjadi Pelindung Di Alam Kubur Dari Arah Tangan

Amalan kedua yang dikongsikan Dr Kamilin ialah bersedekah.

Apabila azab datang dari arah tangan seseorang, amalan sedekahnya menjadi benteng yang menghalang azab tersebut.

Betapa besarnya nilai sedekah sehingga harta yang kita keluarkan untuk membantu orang lain ketika hidup boleh menjadi pelindung di alam kubur.

Rasulullah SAW bersabda:

وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Maksudnya: “Sedekah memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.”

(Riwayat al-Tirmizi, 2616, sebahagian daripada hadis Muaz bin Jabal RA)

Sedekah tidak semestinya dalam jumlah yang besar, kerana amalan membantu golongan memerlukan, menyediakan makanan kepada orang yang kelaparan atau menyumbang kepada pembinaan masjid merupakan antara amalan yang boleh dilakukan mengikut kemampuan.

Usah menunggu sehingga kaya untuk bersedekah.

Jadikan amalan ini sebagai bekalan akhirat dan perisai di alam kubur dengan mengharapkan keredaan Allah SWT.

3. Berjalan Ke Masjid Menjadi Pelindung Di Alam Kubur Dari Arah Kaki

Amalan ketiga sebagai pelindung di alam kubur ialah memperbanyakkan langkah menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Menurut Dr Kamilin, apabila azab datang dari arah kaki seseorang, amalan berjalan menuju ke masjid akan menepis azab tersebut.

Setiap langkah menuju ke rumah Allah bukan sahaja mendatangkan pahala, bahkan menjadi sebab pengampunan dosa.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالْأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan menuju ke salah satu rumah Allah untuk menunaikan salah satu kewajipan Allah, maka satu daripada dua langkahnya menghapuskan dosa, manakala langkah yang lain mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim, 666)

Janganlah kita memandang ringan kelebihan berjalan ke masjid kerana setiap langkah tersebut boleh menjadi bekalan dan pelindung di alam kubur.

Ketiga-tiga amalan yang dikongsikan Dr Kamilin ini disebut dalam hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (9438), yang dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (3561).

Justeru, sama-samalah kita bermuhasabah, sudah cukupkah amalan membaca al-Quran, bersedekah dan berjalan ke masjid yang kita kumpulkan sepanjang kehidupan?

Selagi masih diberikan kesempatan untuk hidup, perbanyakkanlah amal soleh.

Semoga segala kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas diterima Allah SWT dan menjadi pelindung di alam kubur apabila tiba saat kita kembali kepada-Nya.

Sumber: Dr Kamilin Jamilin

BACA JUGA: Dr Kamilin Kongsi 10 Sebab Doa Tak Mustajab, Mungkin Ada Penghalang Yang Kita Lakukan Tanpa Sedar

BACA JUGA: Dr Kamilin Kongsi Zikir Sunnah Ketika Keluar Rumah, Ini Bacaan & 3 Kelebihan Yang Disebut Dalam Hadis

BACA JUGA: Dah Lama Berdoa Tapi Masih Belum Dapat Apa Yang Diminta? Dr Kamilin Kongsi 3 Cara Allah SWT Makbulkan Doa Kita

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.