
Azan adalah panggilan agung kepada umat Islam untuk menunaikan solat, menyeru kita meninggalkan urusan dunia dan menghadap Allah SWT.
Dalam masyarakat kita, ada satu pesanan yang sering didengar sejak kecil iaitu “jangan bercakap masa azan, nanti susah nak mengucap”. Pesanan ini membuatkan ramai tertanya, adakah ia benar dari segi hukum atau sekadar nasihat orang tua-tua?
Dari sudut syariat, tiada dalil sahih daripada al-Quran atau hadis yang menyebut secara khusus bahawa bercakap ketika azan akan menyebabkan seseorang itu susah mengucap di akhir hayat.
Walaupun tiada nas-nas yang mengaitkan secara langsung dengan “susah mengucap”, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan bagi menghormati azan dan menjawab azan kerana ianya adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut).
Tujuannya adalah untuk mendidik hati supaya tidak lalai ketika azan, kerana kelalaian dalam perkara kecil boleh membuatkan hati menjadi keras.
Apabila hati keras, ia boleh menjadi punca seseorang sukar mengingati Allah, termasuk ketika saat-saat terakhirnya.
Maka, daripada kita memandangnya sebagai mitos semata-mata, lebih baik kita melihatnya sebagai bentuk tarbiyah yang berlapik.
Menghormati azan dengan diam dan menjawabnya bukan sahaja membuka pintu pahala, malah menanam rasa cinta kepada panggilan solat.