
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap isu penyeludupan dadah dan kemasukan barang terlarang melalui sempadan darat dan laut negara. Baginda menekankan agar kawalan di lapangan terbang, pelabuhan, serta sempadan diperketat, termasuk melalui teknologi dan kerjasama rentas agensi. Hal ini penting demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara daripada anasir yang boleh merosakkan generasi masa depan.
Selain isu sempadan, baginda juga menyokong usaha pengharaman rokok elektronik atau vape, dengan menekankan bahawa langkah itu wajar dipertimbangkan secara menyeluruh. Ia selari dengan ketegasan kerajaan negeri Pahang yang telah mengharamkan penjualan vape sejak awal Jun yang lalu. Ini menunjukkan keprihatinan institusi diraja dalam memelihara kesihatan dan moral rakyat daripada gejala ketagihan yang dilihat semakin membarah, khususnya dalam kalangan belia.
Dari perspektif Islam, pengharaman vape adalah wajar dan bahkan perlu disegerakan. Para ulama telah bersetuju bahawa apa-apa yang membawa kemudaratan kepada tubuh badan dan akal adalah haram, berdasarkan kaedah “la darar wa la dirar” (tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain). Vape bukan sahaja merosakkan kesihatan secara perlahan, tetapi juga membuka ruang kepada ketagihan bahan lain yang lebih berat, termasuk dadah.
Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambil meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)
Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan seksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya, seperti vape yang boleh membahayakan kesihatan.
Islam juga menuntut umatnya agar menjauhi perkara yang syubhah atau tidak jelas hukumnya, apatah lagi sesuatu yang sudah terbukti memudaratkan. Vape sering disalah anggap sebagai alternatif ‘lebih selamat’ kepada rokok, sedangkan ia mengandungi nikotin dan bahan kimia yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan jantung. Maka, langkah untuk mengharamkannya bukan hanya tindakan kesihatan awam, tetapi juga selaras dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, akal dan keturunan.
Sumber: Bernama