
Sejak kebelakangan ini, aktiviti paranormal seperti memburu hantu atau melakukan ritual memanggil ‘makhluk halus’ semakin popular dalam kalangan anak muda di Malaysia.
Ada yang menjadikannya hiburan di media sosial, ada pula yang benar-benar percaya kepada kuasa luar biasa entiti ghaib.
Fenomena ini menimbulkan persoalan besar iaitu adakah ianya hanya sekadar hiburan atau sebenarnya bertentangan dengan Islam?
Dalam Islam, mempercayai kuasa makhluk ghaib selain Allah adalah perkara yang sangat serius. Walaupun jin dan syaitan itu wujud, kepercayaan dan perlindungan hanya boleh dipohon daripada Allah SWT.
Aktiviti paranormal yang melibatkan ritual, jampi atau pemujaan boleh menjadi pintu kepada syirik.
Sabda Nabi SAW:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”
Riwayat Ahmad (9171)
Masyarakat Muslim perlu sedar bahawa perbuatan ini bukan sekadar ‘content’ untuk tontonan, tetapi berpotensi mengundang gangguan makhluk halus, ketakutan melampau, dan kerosakan akidah.
Islam mengajar umatnya untuk menghindari jalan-jalan yang membawa kepada akidah terpesong, walaupun ia kelihatan menyeronokkan atau menghiburkan.
Sebaliknya, jika ingin mengkaji atau membincangkan tentang alam ghaib, lakukanlah melalui jalan ilmu yang benar, seperti mempelajari ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang jin dan malaikat, atau mendengar kuliah daripada ustaz yang bertauliah.
Dengan ini, kita dapat menjaga hati, akidah dan diri daripada terjebak dalam perkara yang dilarang.