Dalam zaman media sosial kini, ramai berkongsi pengalaman menggunakan produk,sama ada melalui ulasan, review video, atau posting di platform digital. Namun, ramai juga yang sanggup puji produk sekadar untuk wang, populariti, atau produk percuma, tanpa hati yang jujur.

Baru-baru ini, pempengaruh terkenal, Dahlia Rizal, menyatakan bahawa beliau memilih untuk bersikap jujur walaupun produk itu biasa-biasa sahaja, dan enggan pura-pura menyukainya hanya demi duit.

Dalam Islam, kejujuran adalah nilai yang sangat dituntut. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 119:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar (jujur)”

Sabda Rasulullah SAW:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.

(HR Al-Bukhari: 6094)

Lebih-lebih lagi, dalam ulasan produk, terutama yang mungkin mengandungi unsur tidak halal—jika kita memuji tanpa keterujaan yang sebenar, itu termasuk dalam kategori penipuan atau ‘ghisy’, perilaku yang sangat dilarang dalam Islam.

Islam mengajar agar setiap transaksi, kata-kata, atau ulasan yang dibuat mestilah mencerminkan kebenaran, bukan semata-mata demi manfaat duniawi seperti wang atau ganjaran.

Dahlia Rizal menunjukkan contoh baik yang patut dicontohi oleh pempengaruh lain.

Beliau tidak menyembunyikan kelemahan produk, dan sikap ini mengingatkan kita bahawa dalam setiap urusan, terutama bagi pempengaruh, peniaga, atau pencipta kandungan, kejujuran dan keterbukaan itu lebih utama daripada mengejar keuntungan semata-mata.

Allah menjanjikan keberkatan kepada mereka yang tulus dalam perkataan dan perbuatan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”

(HR Tirmizi)

Sumber: OhBulan! & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan