Fenomena anak-anak zaman kini yang semakin hilang adab sering menjadi perbincangan masyarakat. Generasi muda kini berani meninggikan suara kepada orang tua, kurang hormat terhadap guru, bahkan bersikap kasar di media sosial.

Persoalannya, salah siapa keadaan ini berlaku? Adakah semata-mata kerana anak-anak itu sendiri, atau ada kegagalan sistem pendidikan, persekitaran, bahkan ibu bapa yang kurang memberi perhatian kepada pembentukan akhlak sejak awal?

Dalam Islam, pembinaan akhlak dari kecil adalah sangat penting. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Hadis Riwayat al-Bukhari

Anak-anak yang biadap hari ini mungkin adalah cerminan daripada kelalaian kita semua dalam menanamkan nilai adab dan akhlak Islam sejak mereka kecil.

Ibu-bapa yang terlalu sibuk mengejar dunia hingga lalai mendidik, atau masyarakat yang membiarkan budaya hedonisme dan hiburan melampau menjadi santapan harian, akhirnya menghasilkan generasi yang kosong nilai rohaninya.

Selain itu, al-Quran mengingatkan bahawa setiap jiwa bertanggungjawab atas amanah masing-masing. Ibu bapa diperintahkan mendidik anak-anak dengan tarbiah Islam, mendisiplinkan mereka dengan solat, membiasakan dengan akhlak yang baik, serta menjadi contoh teladan kepada mereka.

Jika perkara ini diabaikan, maka tidak hairanlah lahir generasi yang celupar, keras hati, dan tidak mengenal erti hormat. Islam menekankan bahawa akhlak bermula daripada rumah, kerana keluarga adalah madrasah pertama seorang anak.

Namun, bukanlah bermakna segalanya sudah terlambat. Setiap generasi ada peluang untuk diperbaiki. Jika kita benar-benar mahu melihat anak-anak kembali beradab, kita perlu kembali kepada asas Islam iaitu mendidik dengan kasih sayang, menanamkan rasa takut kepada Allah, serta mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Anak-anak akan belajar bukan hanya daripada apa yang diajar, tetapi daripada apa yang mereka lihat pada ibu bapa, guru, dan masyarakat.