Maulidur Rasul yang diraikan setiap tahun bukan sekadar peringatan kepada hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tetapi juga peluang untuk menilai sejauh mana kita menghayati ajaran serta sunnah Baginda.

Sambutan ini akan lebih bermakna apabila ia diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bukan hanya sekadar perarakan atau majlis peringatan.

Rasulullah SAW meninggalkan contoh hidup yang menyeluruh, meliputi ibadah, akhlak, cara berkeluarga, serta hubungan dengan masyarakat.

Mencontohi sunnah harian Baginda seperti menjaga solat tepat pada waktunya, berzikir, mengucapkan salam, membantu jiran, menjaga kebersihan, dan mengawal tutur kata merupakan bentuk penghormatan sebenar kepada Nabi SAW.

Sunnah ini kelihatan kecil, namun memberi impak besar kepada pembentukan jiwa yang tenang dan masyarakat yang harmoni.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 menyebut:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta banyak menyebut Allah (dalam masa susah dan senang).”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menjadikan Baginda sebagai teladan adalah kewajipan yang mendatangkan keberkatan.

Selain itu, mengamalkan sunnah dalam kehidupan seharian juga merupakan tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW. Sabda Baginda SAW:

مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيدٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika umatku di dalam kerosakan maka baginya ganjaran 100 orang yang syahid”. 

(Lihat: Mishkah al-Masabih, no. Hadith 176, 62/1)

Oleh itu, menghayati sunnah bukan hanya tuntutan agama, tetapi jalan menuju kasih sayang Allah dan Rasul.

Oleh itu, menyambut Maulidur Rasul dengan penuh makna adalah dengan memperbanyakkan selawat, membaca sirah Baginda, serta berusaha menghidupkan sunnah dalam kehidupan harian.

Inilah bentuk cinta sebenar yang mampu mendekatkan kita kepada Rasulullah SAW dan menjadikan hidup lebih diberkati.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan