KUALA LUMPUR: Negara hari ini menerima satu berita yang mengundang sebak dalam kalangan umat Islam apabila Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Dr Syaikh Ismail Muhammad, kembali ke rahmatullah pada usia 81 tahun.

Pemergian beliau awal pagi ini bukan sahaja kehilangan buat institusi Masjid Negara, bahkan satu kehilangan besar buat dunia dakwah dan pendidikan Al-Quran di Malaysia.

Beliau merupakan Imam Besar yang paling lama berkhidmat, iaitu selama 12 tahun sejak 2007 hingga bersara pada tahun 2019.

Pengumuman rasmi mengenai pemergian beliau dibuat melalui hantaran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang memaklumkan bahawa tokoh tersebut menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 3 pagi.

Jenazah disolatkan di masjid berkenaan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.

Imam Besar Lembut Tutur Kata, Tegas Prinsip Agama

Dalam sejarah dakwah negara, tidak ramai ‘orang masjid’ yang benar-benar mengabdikan seluruh kehidupan mereka untuk memartabatkan Al-Quran.

Namun, Allahyarham Tan Sri Dr Syaikh Ismail Muhammad berada dalam kelompok istimewa itu. Sepanjang bergelar Imam Besar, beliau dikenang sebagai insan yang lembut tutur kata, tegas dalam prinsip agama, tetapi amat tawaduk dalam peribadi.

Sebagai Imam Besar, pendekatan dakwahnya tidak hanya terbatas pada mimbar Masjid Negara. Beliau turut dikenali sebagai pendidik Al-Quran yang konsisten.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi di Akademi Literasi Al-Quran Selangor, selain menjadi Ahli Jawatankuasa Literasi Al-Quran negeri.

Dedikasi beliau terhadap Al-Quran menjadikan ramai pelajar, ustaz dan imam muda menjadikan beliau sebagai guru dan rujukan.

Allahyarham juga pernah diamanahkan sebagai hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Peranan ini hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar memahami ilmu qiraat, tajwid dan disiplin ilmu Al-Quran.

Penglibatannya sebagai hakim selama puluhan tahun menandakan betapa besarnya kepercayaan negara terhadap ketokohan dan integriti beliau.

Dalam dunia dakwah, beliau sering menekankan pentingnya Al-Quran menjadi petunjuk hidup dan bukan sekadar bacaan ritual. Beliau menzahirkan hadis Nabi ﷺ sebagai asas pendekatan dakwahnya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ”
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”
(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini bukan hanya menjadi pegangan hidup beliau, tetapi turut diterjemahkan dalam kerja-kerja dakwah serta pendidikan Al-Quran sepanjang kerjayanya sebagai Imam Besar Masjid Negara.

Terima Pengiktirafan, Jadi Individu Penting

Atas jasa dan baktinya, beliau dianugerahkan pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Utama Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 2019, Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu pada 2010, dan kemuncaknya, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2021/1443H.

Anugerah tertinggi itu menandakan pengiktirafan negara terhadap sumbangan ilmu, dakwah dan perjuangan beliau dalam meninggikan syiar Islam.

Sebagai Imam Besar Masjid Negara, beliau antara individu penting yang menjaga maruah institusi masjid kebangsaan ini, termasuk memantapkan khutbah, halaqah ilmu, ilmu tilawah serta meningkatkan interaksi masyarakat Islam dengan masjid.

Beliau dikenali sebagai tokoh yang mendekatkan hati masyarakat dengan masjid, dan menjadikan Masjid Negara bukan semata-mata tempat solat, tetapi pusat ilmu dan kerohanian yang aktif.

Pemergian tokoh agamawan ini wajar direnungi umat Islam sebagai suatu peringatan. Dalam satu hadis yang sering dibacakan Allahyarham ketika ceramah beliau, Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Ilmu beliau yang diajarkan kepada ribuan murid, khutbah yang dikongsikan kepada jutaan jemaah, serta usaha menyebarkan Al-Quran sepanjang kerjayanya sebagai Imam Besar, semuanya kini menjadi amal jariah yang mengalir buat dirinya.

Dalam saat getir ini, masyarakat digalakkan untuk mendoakan rohnya. Mendoakan orang yang telah berbakti kepada agama adalah sebahagian daripada adab Islam. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang selepas mereka berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami.” (Surah al-Hashr: 10)

Dengan pemergian tokoh ini, umat Islam kehilangan seorang guru, pendidik, pendakwah dan Imam Besar yang telah mengabdikan lebih separuh hidupnya untuk agama.

Namun, warisan ilmu dan amalnya akan terus hidup dalam setiap insan yang pernah ditarbiah dan disentuh oleh keikhlasannya.

Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau dalam golongan para solihin dan menyejukkan kuburnya dengan rahmat dan cahaya. Al-Fatihah.

Sumber: Berita Harian

Artikel berkaitan: Lelaki Curi Beg Jemaah Wanita Di Masjid, Peringatan Keras Dosa Mencuri Di Rumah Allah Sangat Berat

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!