Ketika waktu Asar baru-baru ini, kata-kata seorang ustaz di corong radio menyentuh hati tanpa disangka.

“Bincang dengan Allah apa yang kita nak capai bulan ini. Jangan asyik bincang dengan manusia.”

Ayat ringkas ini mengundang satu persoalan besar dalam jiwa: sepanjang kita merancang hidup, target kerja, kewangan, keluarga dan masa depan, sudahkah kita benar-benar bincang dengan Allah atau sekadar sibuk membentangkannya kepada manusia?

Dalam kehidupan moden, perancangan dianggap lambang kebijaksanaan. Kita menulis pelan tahunan, menetapkan KPI, berbincang dengan bos, pasangan, klien dan rakan.

Namun tanpa sedar, kita sering terlupa bahawa Allah adalah Pemilik mutlak segala perancangan, dan tanpa izin-Nya, tiada satu pun yang akan menjadi kenyataan.

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan.” (Surah Ghafir, ayat 60)

Ayat ini bukan sekadar galakan berdoa ketika susah, tetapi satu perintah agar urusan hidup dibentangkan kepada Allah sejak awal, bukan hanya ketika gagal.

Inilah maksud sebenar bincang dengan Allah iaitu meletakkan doa sebagai asas perancangan, bukan hiasan di hujung usaha.

Rasulullah ﷺ sendiri, walaupun Baginda adalah insan yang paling hampir dengan Allah, tidak pernah meninggalkan doa dalam urusan hidup.

Bahkan Baginda mengajar umatnya solat istikharah setiap kali berdepan pilihan. Dalam hadis yang masyhur, Nabi ﷺ mengajarkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan terbaik dengan ilmu-Mu dan aku memohon kemampuan dengan kekuasaan-Mu.” (Riwayat al-Bukhari)

ARTIKEL BERKAITAN: Solat Memohon Petunjuk Allah: Ini Cara, Dalil & Fadilat Besar Solat Istikharah Yang Tak Ramai Tahu

Bincang dengan Allah, tanda iman matang

Hadis ini membuktikan bahawa bincang dengan Allah bukan tanda lemah atau tidak yakin dengan diri, sebaliknya tanda iman yang matang.

Orang beriman sedar bahawa ilmu manusia terbatas, sedangkan ilmu Allah meliputi segala yang zahir dan batin.

Malangnya, ramai antara kita hanya mula mengadu kepada Allah selepas semua pintu tertutup. Ketika perancangan gagal, barulah doa menjadi senjata terakhir. Sedangkan Allah mengingatkan:

وَمَا تَشَاؤُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Dan kamu tidak menghendaki sesuatu melainkan apa yang dikehendaki Allah.” (Surah al-Insan, ayat 30)

Ayat ini mengajar bahawa setiap perancangan manusia perlu disandarkan kepada kehendak Allah.

Tanpa tawakkal, perancangan boleh melahirkan rasa angkuh halus dan merasa segalanya di bawah kawalan sendiri. Inilah yang sering meruntuhkan jiwa apabila realiti tidak seiring dengan perancangan.

Bincang dengan Allah & tawakal, hidup sentiasa tenang

bincang dengan allah

Para ulama tasawuf menyebut, orang yang bincang dengan Allah sebelum bertindak akan sentiasa tenang. Jika berjaya, dia bersyukur. Jika gagal, dia reda.

Hatinya tidak runtuh kerana dia tahu urusan itu telah dipersembahkan kepada Tuhan sejak awal. Allah SWT juga memerintahkan:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ
Maksudnya: “Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159)

Ayat ini menegaskan keseimbangan Islam: rancang, berusaha dan kemudian bincang dengan Allah melalui tawakkal. Bukan duduk menunggu tanpa usaha, dan bukan juga berusaha tanpa bergantung kepada-Nya.

Dalam dunia yang serba laju ini, ramai berbincang tentang impian di meja kopi, di bilik mesyuarat dan di media sosial, tetapi sunyi daripada perbincangan dengan Allah di sepertiga malam atau selepas solat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Kita Kerap Terjaga Jam 3 Pagi?

Sedangkan doa yang keluar dari hati yang ikhlas lebih berkuasa daripada seribu pelan strategik.

Ibn ‘Ata’illah as-Sakandari رحمه الله pernah berpesan bahawa tanda kejayaan seseorang adalah apabila hatinya sentiasa kembali kepada Allah dalam setiap urusan, sama ada kecil atau besar.

Itulah hakikat hidup seorang hamba iaitu sentiasa membawa urusan dunia ke pintu langit.

Mungkin inilah sebab mengapa banyak perancangan terasa berat dan tidak diberkati.

Kita terlalu sibuk membincangkan masa depan dengan manusia, tetapi lupa membentangkannya kepada Tuhan yang menentukan masa depan.

Mulakan dengan doa yang ringkas tetapi jujur:

“Ya Allah, inilah yang aku rancang. Jika baik untuk duniaku dan akhiratku, mudahkanlah. Jika tidak, palingkan dan gantikan dengan yang lebih baik.”

Itulah bentuk presentation yang Allah paling suka. Itulah makna sebenar bincang dengan Allah.

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!