Fenomena content paranormal atau kandungan paranormal semakin mendapat tempat dalam masyarakat hari ini, khususnya di platform media sosial.

Rakaman “mencari hantu”, sesi berinteraksi dengan makhluk ghaib, sehinggalah kepada kandungan yang mendakwa lokasi tertentu ‘keras’ dan dihuni entiti misteri, sering dipersembahkan atas nama hiburan, lawak atau eksperimen.

Namun persoalannya, sampai bila masyarakat Islam perlu menormalisasikan content paranormal seperti ini, sedangkan ia jelas menimbulkan kekeliruan akidah dan merosakkan cara berfikir umat?

Islam tidak menafikan kewujudan alam ghaib, termasuk jin. Namun Islam juga meletakkan garis yang sangat jelas tentang bagaimana manusia perlu berinteraksi dengan perkara ghaib.

Ia bukan untuk diburu, dicari atau dijadikan bahan tontonan. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya agar menjaga jarak, memperkukuh iman dan menyerahkan urusan ghaib sepenuhnya kepada Allah SWT.

Bahaya bergantung dengan jin

Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran tentang bahaya manusia yang mula bergantung atau berinteraksi dengan jin:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
“Dan sesungguhnya ada dalam kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada jin, maka jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesesatan.” (Surah al-Jinn: 6)

Ayat ini memberi isyarat jelas bahawa hubungan manusia dengan jin tidak membawa kebaikan, bahkan membuka ruang kepada ketakutan, penipuan dan penyimpangan tauhid.

Justeru, apabila content paranormal menjadikan jin sebagai fokus utama, ia secara tidak langsung menghidupkan budaya takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah.

Guna ‘ruqyah’ justifikasi content paranomal

Lebih membimbangkan, sebahagian content paranormal ini menggunakan istilah “ruqyah” sebagai justifikasi.

Hakikatnya, ruqyah dalam Islam bukan ritual menghalau hantu untuk tontonan awam, apatah lagi dijadikan kandungan sensasi.

Ruqyah syar‘iyyah ialah doa dan bacaan al-Quran yang bertujuan memohon perlindungan serta kesembuhan daripada Allah SWT. Rasulullah ﷺ bersabda:

اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ، لَا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ
“Perlihatkan kepadaku ruqyah kamu. Tidak mengapa melakukan ruqyah selagi ia tidak mengandungi unsur syirik.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa ruqyah mestilah bersih daripada unsur khurafat, pemujaan makhluk atau kebergantungan selain Allah.

Apabila ruqyah dipersembahkan dalam bentuk demonstrasi terbuka, jeritan, ‘dialog’ dengan jin dan ditonton jutaan manusia, ia telah keluar daripada roh sebenar ruqyah dan membuka pintu riya’, penipuan serta syirik halus.

Content paranormal beri kesan besar akal masyarakat

Lebih jauh, content paranormal juga memberi kesan besar terhadap akal masyarakat.

Ia menanam kepercayaan bahawa sesuatu tempat lebih ‘berkuasa’ daripada doa, atau makhluk ghaib lebih perlu ditakuti daripada kemurkaan Allah.

Sedangkan Islam mendidik umatnya agar hanya bergantung kepada Allah dalam setiap keadaan. Allah SWT berfirman:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ
“Dan jika Allah menimpakan sesuatu mudarat kepadamu, maka tiada siapa yang dapat menghilangkannya melainkan Dia.” (Surah al-An‘am: 17)

Ayat ini menegaskan asas tauhid yang murni, bahawa keselamatan, perlindungan dan ketenangan hanya datang daripada Allah, bukan daripada ritual, lokasi atau individu yang mendakwa mampu mengawal alam ghaib.

Islam juga sangat menitikberatkan penjagaan akal. Normalisasi content paranormal yang mengelirukan, menakut-nakutkan dan sarat khurafat secara berterusan boleh merosakkan cara umat berfikir, khususnya generasi muda.

Ia menjadikan agama kelihatan mistik, menakutkan dan tidak rasional, sedangkan Islam adalah agama ilmu, hikmah dan keseimbangan.

Rasulullah ﷺ sendiri mengajar doa perlindungan yang mudah, tanpa perlu mencari punca ghaib atau makhluk tertentu:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang Dia ciptakan.”
(Riwayat Muslim)

Doa ini mencerminkan pendekatan Islam yang tenang, bersih dan bertauhid, jauh daripada sensasi atau ketakutan melampau.

Kesimpulannya, teguran terhadap budaya content paranormal bukan bermaksud menafikan kewujudan jin, tetapi mengembalikan umat Islam kepada kerangka akidah yang betul.

Islam tidak mendidik umatnya menjadi pemburu misteri, tetapi hamba yang tunduk, berzikir dan yakin kepada perlindungan Allah.

Sudah tiba masanya masyarakat lebih kritikal menilai kandungan yang ditonton, agar hiburan tidak mengorbankan iman dan maruah agama.

Sumber: PU Amin

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak Sesuai ‘Gender Reveal’ Di Depan Kaabah, Tanah Suci Bukan Pentas Kandungan Media Sosial

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!